Covid-19: Polis Terengganu tubuh pasukan khas


Sekatan jalan raya dibuat oleh pasukan IPD Besut di lokasi terpilih masih memastikan orang ramai tidak melakukan pergerakan bebas pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan semalam (Foto ihsan IPK Terengganu)
Sekatan jalan raya dibuat oleh pasukan IPD Besut di lokasi terpilih masih memastikan orang ramai tidak melakukan pergerakan bebas pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan semalam (Foto ihsan IPK Terengganu)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas yang akan bertugas 24 jam bagi memantau perkembangan terkini terutama melibatkan pergerakan dan aktiviti orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pasukan itu membabitkan 764 anggota daripada pelbagai pangkat.

Menurutnya, rondaan bermula semalam termasuk semua anggota pasukan kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) melakukan rondaan terutama di lokasi tumpuan awam.

"Pemantauan pada hari pertama mendapati tahap kesedaran masyarakat di negeri ini masih rendah tetapi usaha polis berkesan selepas pergerakan berkurangan malam tadi.

"Kita hanya memberi nasihat tetapi tindakan akan diambil jika ingkar arahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslee berkata, polis turut menyampaikan hebahan kepada orang ramai menggunakan pembesar suara.

Beliau berkata, sekatan jalan raya turut diadakan di beberapa kawasan di sini bagi memastikan orang awam untuk tidak membuat sebarang pergerakan tidak penting.

"Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan berkait langgar perintah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini boleh menghubungi talian 09-6354745 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ini boleh menjadi kesalahan jenayah dan tindakan boleh diambil di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai, Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan jahat, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Tambah Roslee, sehingga hari ini, masih tiada kes berkait kesalahan Covid-19 contohnya penyebaran berita palsu atau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dilaporkan di sini.