Pelajar antarabangsa tidak gugat kuota tempatan di universiti awam – Zambry

Zambry tegaskan pelajar antarabangsa tidak jejaskan kuota pelajar tempatan di universiti awam dan keutamaan sentiasa diberikan kepada warganegara.
Zambry tegaskan pelajar antarabangsa tidak jejaskan kuota pelajar tempatan di universiti awam dan keutamaan sentiasa diberikan kepada warganegara.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya pelajar antarabangsa mengisi kuota pelajar tempatan di universiti awam adalah tidak benar sama sekali.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa dasar pendidikan tinggi negara jelas menetapkan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan melalui sistem permohonan UPU, manakala pengambilan pelajar antarabangsa dibuat secara berasingan.

“Dasar yang kita buat ialah menetapkan apa pun, keutamaannya diberikan terlebih dahulu kepada pelajar kita. Kita tidak akan melakukan sesuatu yang mengorbankan anak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Zambry, jumlah enrolmen semasa bagi tahun 2024 adalah seramai 497,020 pelajar warganegara berbanding hanya 13,986 pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah.

“Ini membuktikan keutamaan sentiasa diberikan kepada anak-anak kita. Walaupun kita menggalakkan dasar pengantarabangsaan, ia tidak bermaksud menjejaskan peluang pelajar tempatan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap tempat yang diperuntukkan kepada pelajar tempatan tidak pernah diganggu gugat oleh kemasukan pelajar antarabangsa.

“Dasar pengambilan pelajar antarabangsa dilakukan secara berasingan tanpa mengambil tempat anak-anak kita. Jadi, tidak timbul isu pelajar luar mengisi kuota tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Zambry berkata, pihaknya turut memberi perhatian khusus kepada pelajar berkeperluan khas (OKU) yang cemerlang.

Beliau memaklumkan telah membantu menyelesaikan tiga permohonan pelajar OKU yang layak untuk ditawarkan kursus mengikut pilihan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri telah maklumkan kepada pelajar-pelajar ini bahawa mereka akan mendapat tawaran kursus yang dipohon. Tiada unsur diskriminasi kepada mana-mana pelajar yang layak dan cemerlang,” ujarnya.

Menurutnya, kementerian sentiasa memastikan fasiliti kampus disesuaikan dengan keperluan pelajar OKU agar mereka mendapat akses pendidikan terbaik.

Beliau memberi jaminan bahawa prinsip keadilan dalam pengambilan pelajar akan terus dijunjung, seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

“Ini adalah dasar kita. Tiada siapa akan dikorbankan, sebaliknya semua diberi peluang sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!