Universiti awam pemangkin pembangunan bakat berasaskan kompetensi

BARU-baru ini semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-20, Perdana Menteri melancarkan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang bertujuan membangunkan bakat kompeten dan berpotensi berasaskan prestasi secara berstruktur. Ia satu inisiatif yang amat baik dan pastinya diterima sepenuhnya oleh penjawat awam.
Kerangka ini disokong oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) – PPPM(PT) 2015-2025 yang turut memfokuskan kecemerlangan bakat dan menjadikannya salah satu lonjakan dalam menghasilkan lebih ramai bakat cemerlang di negara ini.
Tambahan pula, fokus utama Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2030 yang menjadi kesinambungan kepada PPPM(PT) 2015-2025 telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antaranya adalah penyediaan bakat.
Dalam konteks KPT, membangunkan bakat meliputi potensi pelajar, alumni dan staf untuk menjadi tenaga kerja kompeten di universiti awam. Dasar ini memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan negara dengan menghasilkan bakat pendidikan tinggi yang cemerlang dan berkualiti.
Sektor pendidikan perlu dijadikan sebagai segmen pelaburan strategik bagi memacu kecemerlangan bakat yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya. Semua ini saling bergantungan dalam persekitaran semasa.
Lonjakan ini memfokuskan kepada membina dan membangunkan bakat cemerlang dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi agar berinspirasi dan bertransformasi sebagai persediaan melahirkan modal insan berkualiti.
Selain staf akademik, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana turut menjadi fokus dalam menyokong agenda bakat berasaskan kompetensi ini.
Dalam setiap organisasi, terdapat anggota yang menunjukkan prestasi lebih cemerlang berbanding yang lain. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang pekerja memberikan prestasi cemerlang dalam organisasi yang sama?
Kajian lalu menunjukkan perbezaan tahap prestasi antara pekerja cemerlang dan pekerja biasa adalah disebabkan ciri-ciri peribadi yang ditunjukkan.
Secara tradisinya, kompetensi merujuk kepada pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi sesuatu tugasan. Bagaimanapun, takrifan kompetensi telah melalui evolusi makna dan pendekatan bagi menjamin keberkesanan serta kecemerlangan individu dan organisasi.
Boyatzis (1982) dalam bukunya The Competent Manager membawa pendekatan baharu dengan menakrifkan kompetensi sebagai an underlying characteristic of a person yang tersembunyi dalam watak seseorang, dapat dilihat melalui self-image, traits, motive and social roles serta kemahiran dan pengetahuannya.
Selain itu, MAPPA ke-20 turut menggariskan tempoh mengikuti program pembangunan kompetensi selama 40 jam setahun. Ini selari dengan pendekatan universiti awam yang memperkenalkan penilaian kompetensi sepanjang hayat melalui Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).
CPD ialah proses pembelajaran sepanjang hayat untuk membangun dan meningkatkan kompetensi individu, yang digunakan secara meluas oleh badan profesional di seluruh dunia bagi tujuan pembangunan dalam profesion tertentu.
CPD mengambil kira kursus atau program berteraskan kompetensi (teras, profesional/generik, fungsional dan lain-lain) yang boleh diiktiraf sebagai mata CPD. Ia menjadi pemangkin kepada inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tambahan pula, Perdana Menteri turut mengumumkan Hadiah Pengiktirafan Akademik berbentuk insentif kewangan kepada pegawai awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana) yang memulakan dan menamatkan pengajian. Ia selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam di semua peringkat, sekali gus memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Usaha ini bertepatan dengan hasrat mewujudkan kelompok bakat pemimpin organisasi yang mampan, seiring dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2006 yang menyediakan panduan bagi menubuhkan Search Committee dan melaksanakan Pelan Penggantian (Succession Planning) secara lebih mantap.
Inisiatif itu juga menyokong pemilihan pegawai-pegawai bagi mengisi jawatan strategik, selari dengan salah satu fokus utama Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2030 iaitu meningkatkan daya saing serta memastikan tadbir urus yang baik dan kepimpinan berkesan dalam institusi pendidikan tinggi.
Kepimpinan organisasi di semua peringkat struktur pentadbiran perlu mempunyai kesinambungan. Ia amat penting bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian kepimpinan universiti agar barisan pelapis berjaya disediakan melalui latihan dan program pembangunan berasaskan kompetensi, prestasi serta dimasukkan ke dalam kelompok bakat sebagai calon sedia (readiness talent) bagi jawatan strategik.
Kesemua staf ini akan melalui proses pemprofilan secara sistematik dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan dan pencapaian tertinggi.
* Raja Shah Erman Raja Arifin ialah Timbalan Pendaftar, Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
