Mara bakal hantar 100 pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar

Tangkap layar hantaran Asyraf Wajdi di Facebook pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran Asyraf Wajdi di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan menerima kelulusan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar 100 pelajar bidang perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan bakal diberi kepada pelajar tahfiz Ulul-Albab dan pengambilan kumpulan pertama dibuat pada tahun ini sepertimana dipersetujui dalam rundingan awal bersama presiden universiti ternama itu.

Menurut beliau, pelajar cemerlang kategori keluarga miskin tegar juga diberi keutamaan selain tahfiz Ulul-Albab.

“Alhamdulillah, Mara mendapat kelulusan daripada timbalan perdana menteri untuk menghantar 100 pelajar Perubatan ke Universiti Al-Azhar. Keutamaan buat tahfiz Ulul-Albab dan pelajar cemerlang kategori keluarga miskin tegar.

“Insya-ALLAH pengambilan kumpulan pertama akan dibuat tahun ini juga sebagaimana dipersetujui dalam rundingan awal saya dengan presiden Universiti Al-Azhar.

“Saya akan minta pengurusan Mara terutamanya Bahagian Penganjuran Pendidikan untuk mengeluarkan notis pemakluman mengenai syarat permohonan bagi jurusan Perubatan di universiti tersebut dalam masa terdekat,“ katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Terbaharu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa pelajar tahfiz cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima tajaan biasiswa jika melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).

Jelasnya, biasiswa 100 peratus itu memang diamalkan oleh Institut Pendidikan MARA (IPMa) kepada pelajar cemerlang dan bagi pengambilan mahasiswa UniKL serta UPTM, keutamaan diberi buat pelajar maahad tahfiz untuk tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!