Wanita China mengamuk, cederakan tujuh mangsa diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Mahkamah Sesyen dan Majistret Kajang pada Rabu, memerintahkan Liu Ting menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Foto Sinar Harian.
Mahkamah Sesyen dan Majistret Kajang pada Rabu, memerintahkan Liu Ting menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KAJANG – Seorang wanita warga China yang tular dalam insiden mengamuk sambil memegang pisau sehingga mencederakan tujuh mangsa, diperintah oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Rabu, supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim, Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan, apabila tertuduh, Liu Ting, 24, kelihatan keliru dan tidak memahami lapan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadapnya.

Semasa prosiding, wanita itu banyak berdiam diri dan kelihatan terpinga-pinga apabila jurubahasa bertanyakan sama ada dia memahami kes berkenaan sehingga memaksa pertuduhan dibacakan beberapa kali.

Di Mahkamah Sesyen, wanita itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, dengan niat cuba membunuh dua lelaki berumur 19 dan 21 tahun serta satu pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 35 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Besar dan Jalan Semenyih, Persimpangan Metropoint di sini, antara jam 11.39 pagi dan 12 tengah hari pada 13 Ogos lalu.

Wanita warga China yang tular dalam insiden mengamuk sambil memegang pisau sehingga mencederakan tujuh mangsa diperintah supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital
Wanita warga China yang tular dalam insiden mengamuk sambil memegang pisau sehingga mencederakan tujuh mangsa diperintah supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital

Penuntut dari sebuah universiti awam dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, maka pesalah itu hendaklah dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dia membuat pengakuan sama atas dua lagi pertuduhan, menyebabkan kecederaan parah dengan menetak lengan kanan seorang wanita berumur 60 tahun dan menikam perut seorang lelaki berumur 27 tahun menggunakan pisau di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 53 tahun dan dua lelaki berusia 21 serta 49 tahun dengan menggunakan senjata sama di lokasi serta tarikh serupa.

Dia dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh memahami tiga pertuduhan itu namun berdiam diri dan tidak membuat sebarang pengakuan.

Pendakwaan dalam kes ini dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia Safri sementara tertuduh diwakili peguam, TK Song.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi laporan perubatan itu pada 19 September depan.

Sebelum ini, rakaman video memaparkan seorang wanita mengamuk dan menyerang orang awam menggunakan pisau selepas terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat, tular di media sosial.

Insiden itu menyebabkan beberapa individu termasuk penunggang motosikal cedera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!