'Ombak 'ganas' lagi, kami tak boleh lelapkan mata'

SUNGAI PETANI - [DI KEMASKINI] "Ombak 'ganas' sampai menghempas dinding rumah, kami takut nak lelapkan mata".
Demikian kebimbangan ibu tunggal dari Kampung Huma di sini, Pazidah Abd Khalid, 59, mengenai hakisan ombak yang semakin kritikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, sukar untuk lelapkan mata setiap kali terdengar deburan ombak menghempas pantai serta mengenai dinding rumah mereka terutama waktu malam.
"Dulu pantai ni jauh lagi tetapi lama-kelamaan hanya tinggal beberapa meter sahaja, buka tingkap sahaja terus nampak laut, siapa yang tak gerun," ulasnya.
Menurutnya, sejak suami meninggal dunia pada 2007, dia hanya tinggal bersama empat anak di rumah itu berusia antara 17 hingga 28 tahun.
"Sejak sebulan dua ni teruk sangat bila air pasang, tak boleh lena tidur memikirkan nyawa diri dan anak-anak," katanya.
Selain itu, Maimunah Hassan, 70, yang tinggal bersama anak, menantu dan cucu turut menyatakan kebimbangan melihatkan keadaan suaminya, Ramli Rejab, 71, yang kurang upaya setelah kaki kanan dipotong akibat dipatuk ular semasa menangkul ketam tiga tahun lalu.
"Suami pakai tongkat, pergerakan agak terhad, risau kalau jadi apa-apa... sebelum ini kami pernah pindah ke dewan (PPS) tahun lepas akibat rumah dinaiki air...risau berulang lagi melihat kepada situasi ombak besar ketika ini," katanya.
Selain itu, Shukri Hambali, 64, berkata, jarak pantai dengan rumahnya agak jauh kira-kira 500 meter sebelum ini namun disebabkan hakisan ombak, hanya tinggal beberapa langkah sahaja yang tinggal.

"Tak kira siang atau malam, jika ombak besar, air pasang, kami dah berjaga-jaga.. Semua dokumen penting sudah diletak tepi.
"Masa saya dan anak keluar bekerja, tinggal isteri seorang diri di rumah, jika dapat tahu ada ombak besar atau air pasang, saya cukup risau.
"Sebelum ini dah dimaklumkan akan bina benteng tetapi belum sampai ke belakang rumah kami. Lihatlah apa dah jadi, habis pokok-pokok dihanyutkan ombak," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer akan dibina bagi menangani masalah hakisan yang semakin serius di kampung terbabit.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohammad Yusof@ Munir Zakaria dipetik sebagai berkata, projek bernilai RM20 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Sebelum ini kerajaan negeri sudah dua kali melaksanakan kerja-kerja membina benteng sementara sepanjang 50 meter membabitkan peruntukan lebih kurang RM200,000.
"Batu-batu besar sudah diletakkan di sepanjang pantai berhampiran rumah penduduk. Sebelum itu juga kita bina benteng guni pasir sebagai alternatif bagi mengelak berlaku hakisan yang teruk," katanya.
Beliau berkata, JPS sudah menjalankan penilaian teknikal dan kerja ukur di tapak sebagai persiapan sebelum projek berskala besar itu dimulakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

