Bomba nyaris dihempap dinding rumah ketika padam kebakaran

DUNGUN - Seorang anggota bomba berdepan detik cemas apabila nyaris dihempap dinding rumah ketika bertugas memadam kebakaran sebuah rumah di Felda Kerteh 2 di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Muhamad Aminuddin Abdul Jalil, 28, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum dinding setinggi hampir lima meter itu runtuh.
Ketua BBP Paka, Mohd Rizuan Ramli berkata, ketika kejadian, pihaknya sedang giat melakukan kerja-kerja pemadaman sebelum struktur dinding rumah itu tiba-tiba runtuh.
"Anggota bomba terbabit sempat bertindak pantas mengelak daripada terkena dinding yang runtuh serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Rizuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi sebelum 17 anggota dari BBP Paka dan BBP Kerteh dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 18 kilometer (km).
"Sebaik tiba, kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal yang memusnahkan hampir 60 peratus struktur binaannya.
"Tindakan pantas anggota dengan menggunakan beberapa aliran hos dan pancutan air tangki jentera berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.11 tengah hari.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 20 saat yang memaparkan seorang anggota bomba nyaris dihempap dinding rumah ketika memadam kebakaran.
Video itu dipercayai dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
