Kenaikan tarif air Kedah masih rendah berbanding negeri lain - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan tarif air di Kedah tidak membebankan rakyat kerana kadar baharu sebanyak 81 sen bagi penggunaan 20 meter padu pertama masih jauh lebih rendah berbanding negeri lain.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kenaikan sebanyak 6 sen itu merupakan keperluan dan langkah penting bagi memastikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terus mencatat keuntungan, seterusnya mampu membayar hutang air negeri bagi mengekalkan kedaulatan negeri ini.

Menurutnya, bukan Kedah sahaja yang menaikkan kadar tarif, sebaliknya permohonan sama turut dibuat oleh 10 lagi operator negeri.

“SADA kena catat keuntungan untuk bayar hutang. Saya nak pastikan pelan perniagaan kita mampu bayar hutang air supaya negeri ini terus mendapat haknya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (Sidam-PKR) mengenai keperluan menaikkan tarif air memandangkan SADA kini mencatat keuntungan.

Sanusi memaklumkan, berdasarkan rekod SADA, keuntungan selepas cukai pada tahun 2010 adalah sebanyak RM12.1 juta dan meningkat sehingga 2012.

“Keuntungan menurun kepada RM22.9 juta pada 2013 dan menyusut kepada RM21.2 juta (2014), RM13.1 juta (2015), RM6.1 juta (2016), RM450,000 (2017) seterusnya menurun kepada RM31,000.

“Pada 2019, SADA catat kerugian RM36 juta. Pada 2020, Perikatan Nasional (PN) ambil alih kerajaan dan melakukan reformasi operasi SADA bermula Mei, dan kembali untung sebanyak RM149,000.

“Sejak itu, SADA terus catat keuntungan, bermula dari 2021 (RM29.5 juta) hingga 2024 (RM41.5 juta), dan unjuran tahun ini sebanyak RM80 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menempelak sikap Kerajaan Persekutuan yang hanya menyasarkan negeri pembangkang dalam isu bekalan air.

“Kedah jadi tumpuan isu kenaikan tarif sedangkan terdapat 10 operator air negeri lain turut mohon perkara sama. Media sudah dikawal Kerajaan Persekutuan, sebab itu hanya sebut empat negeri SG4 (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu).

“Sedangkan ada negeri lain hutangnya dengan TNB cecah RM700 juta, tapi tidak disebut. Kalau jujur, ceritalah semua sekali,” katanya.

Menurutnya lagi, kuasa eksekutif bekalan air bersih kini berada di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagaimana diperuntukkan Seksyen 3 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Setiap rancangan perniagaan operator air dikawal SPAN dan sekiranya pendapatan tidak mencukupi untuk menampung hutang, suruhanjaya itu berhak mengambil alih pengurusan operator berkenaan.

“Bila semua operator mohon naik tarif, semua diluluskan. Jadi kenapa nak sebut Kedah saja? Semua negeri hadapi masalah sama,” tegasnya.

Sanusi menjelaskan, infrastruktur bekalan air di negeri ini sedang dipertingkatkan secara berperingkat, namun sebarang kelewatan atau kegagalan membayar hutang akan membawa risiko besar kepada negeri.

“Jika bekalan air terawat pun diambil alih dengan mengubah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hanya tinggal sumber air, parit dan terusan saja kepada negeri sebab bekalan air bersih telah ditakluk oleh Persekutuan.

“Negeri hanya ada tiga perkara kekal miliknya, iaitu air, tanah, hutan dan agama bawah naungan Sultan. Kalau air pun diambil alih, habislah kedaulatan negeri ini. Sebab itu kita usaha bayar hutang air dan kekalkan operator air SADA,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!