Kerajaan Perak puas hati prestasi LAP

Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Dewan Negeri Perak, pada Sabtu.
Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Dewan Negeri Perak, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak berpuas hati dengan prestasi Lembaga Air Perak (LAP) walaupun tidak berada dalam senarai tiga terbaik dari segi pengurusan air di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak kekal mencatat keuntungan operasi setiap tahun tanpa terbeban dengan hutang atau pinjaman.

Menurutnya, yang lebih penting ialah Perak tidak termasuk dalam tiga negeri dengan prestasi terburuk.

“Kita bersih. Setakat ini kita tiada masalah dan berada pada kedudukan baik. Walaupun beberapa negeri menaikkan tarif air tahun ini Perak tidak berbuat demikian kerana kenaikan lima sen telah dibuat pada tahun lalu.

“Itu membolehkan hasil kutipan digunakan untuk menambah baik kemudahan sedia ada. Saya tidak bimbang kita tidak berada di tiga teratas yang lebih dibimbangkan kalau kita tersenarai dalam tiga terbawah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Dewan Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Saarani (lima dari kiri) bersama Ahli Dewan Belia Perak sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Dewan Negeri Perak, pada Sabtu.
Saarani (lima dari kiri) bersama Ahli Dewan Belia Perak sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Dewan Negeri Perak, pada Sabtu.

Pada 7 Ogos media melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan syarikat bekalan air di Perlis, Kedah dan Kelantan dikenal pasti mencatatkan prestasi kurang memuaskan apabila gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, prestasi terbaik dalam sektor perkhidmatan air dinobatkan kepada syarikat air di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Dalam pada itu, Saarani berkata, penganjuran Dewan Belia Negeri Perak merupakan platform rasmi untuk menyampaikan suara dan aspirasi anak muda secara berstruktur, selain memupuk kepimpinan berwibawa, berintegriti dan berdaya saing.

Menurutnya, mesyuarat kali ini melibatkan 63 Ahli Dewan Belia yang dipilih daripada 162 calon melalui proses pemilihan berdasarkan potensi kepimpinan, pemikiran kritis, kefahaman isu semasa, komunikasi dan kreativiti menyelesaikan masalah.

“Sejak penubuhannya pada 2015, Dewan Belia menjadi penghubung antara golongan belia, agensi kerajaan, NGO dan pihak berkepentingan.

"Setiap usul yang dibentangkan akan dikumpulkan mengikut portfolio Exco dan dinilai untuk dilaksanakan bergantung kepada kelulusan peruntukan,” katanya.

Persidangan kali ini membentangkan 11 usul utama meliputi pendidikan, ekonomi, sosial, pelancongan, teknologi, kelestarian alam sekitar, perumahan dan perkahwinan belia selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!