Ahmad Terrirudin tahu Titah Adendum, tapi cuba kelirukan mahkamah - Peguam Najib

Najib memohon Ahmad Terrirudin (kanan) dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.
Najib memohon Ahmad Terrirudin (kanan) dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa terdapat bukti kukuh bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengetahui mengenai Titah Adendum.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata, ini kerana titah diraja itu dialamatkan kepada Ahmad Terrirudin dengan menyebut nama serta jawatan rasminya yang ketika itu selaku Peguam Negara.

Bagaimanapun beliau berkata, Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan memilih untuk mengelirukan mahkamah.

"Ahmad Terrirudin sebaliknya membantah kebenaran semakan kehakiman, dengan alasan afidavit sokongan berhubung kewujudan titah itu bersifat spekulatif dan berdasarkan keterangan dengar cakap.

"Beliau mengetahui mengenai titah itu dan berusaha untuk menghalangnya, sedangkan tanggungjawab untuk berlaku jujur terpakai terhadap Ahmad Terrirudin berbanding orang lain.

Peguam berkata demikian semasa hujahan dalam prosiding permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan, untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

Beliau berkata, salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 malah dialamatkan sendiri kepada Ahmad Terrirudin.

Berdasarkan hujahan bertulis, salinan tersebut menyatakan 'Waraqatul ikhlas Watah Fatul Akhyar iaitu daripada Beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia'.

'Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya'.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Muhammad Shafee berkata, Ahmad Terrirudin yang juga responden dalam kes ini, mempunyai peluang untuk mengesahkan titah berkenaan dengan Istana Pahang.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Titah Adendum itu sendiri mengesahkan bahawa Ahmad Terrirudin telah menerima dokumen asal yang membuktikan beliau mengetahui dan mempunyai kawalan secara peribadi.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib wajar ditolak kerana ia tidak berasas.

Selain itu katanya, permohonan berkenaan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya, Peguam Negara memikul tanggungjawab untuk berlaku jujur maka pada peringkat permohonan kebenaran ini tidak tepat.

"Selaku Peguam Negara, beliau telah bertindak dengan betul ketika membantah kebenaran semakan kehakiman Najib atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan bersifat dengar cakap dan andaian semata-mata.

“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman.

"Jadi ia tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” hujahnya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua pihak, Hakim, Alice Loke Yee Ching menetapkan 4 September depan untuk keputusan permohonan berkenaan.

Titah Adendum ini dikatakan diperkenan Seri Paduka ke-16 yang membolehkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 21 Mei lalu, Najib memohon supaya Ahmad Terrirudin dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.

Menurut kenyataan firma guaman Tetuan Shafee & Co, Najib menggesa Ahmad Terrirudin memberikan penjelasan sebelum dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!