Titah Adendum wujud tapi kesahannya perlu dibuat Mahkamah Tinggi-Hakim

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Zabariah)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Zabariah)
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu memberitahu, isu sama ada Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu wujud atau tidak, perlu dihujahkan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Ketika membaca keputusan penghakiman lebih satu jam, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof berkata, perkara itu juga patut dikemukakan dalam perbicaraan substantif dalam permohonan semakan kehakiman.

“Buat masa ini, Titah Adendum itu wujud dan statusnya dari segi kesahannya atau kebenaran perlu dipastikan dalam perbicaraan.

“Kami berpendapat, tidak wajar untuk mahkamah menyatakan sebarang pandangan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hanipah Farikullah.

Pada peringkat ini beliau berkata, ia memerlukan siasatan lanjut melalui pendengaran penuh berserta bukti dan fakta.

Lebih-lebih lagi katanya, ketika hujahan, Peguam Negara mengaku bahawa Titah Adendum berkenaan wujud.

Susulan itu beliau berkata, pengakuan berkenaan memberi kesan yang besar terhadap persoalan yang dikemukakan di hadapan panel, khususnya berkaitan kewujudan bukti baharu yang dipertikaikan.

Berbekalkan pengakuan itu beliau menjelaskan, persoalan berhubung fungsi Peguam Negara dalam rayuan itu tidak lagi relevan seterusnya bersifat akademik.

“Kami perlu menegaskan bahawa penghakiman ini bukan menyatakan Titah Adendum sebagai sebahagian daripada perintah pengampunan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun titah itu wujud, ia tidak secara automatik boleh diterima masuk sebagai bukti, responden perlu memenuhi peraturan dan kriteria berkaitan kemasukan titah itu sebagai bukti baharu,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan perintah Adendum itu juga tidak secara automatik menjadikannya sah kerana perlu diputuskan dalam perbicaraan substantif.

Susulan itu beliau berkata, mahkamah mengembalikan semula kes berkenaan kepada Mahkamah Tinggi bagi didengar dalam semakan kehakiman di hadapan hakim lain.

Dalam pada itu beliau berkata, mahkamah membenarkan Titah Adendum diterima masuk sebagai bukti baharu di bawah Kaedah 7, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Ia termasuk memberikan kebenaran kepada bekas Ahli Parlimen Pekan selaku responden untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada pagi Rabu, Peguam Negara gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!