Johor laksana khutbah Jumaat khas tolak gejala buli

JOHOR BAHRU - Khutbah Jumaat khas mengenai keburukan dan larangan perbuatan buli akan disampaikan di seluruh masjid di Johor pada 22 Ogos ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, khutbah khas itu merupakan antara inisiatif segera bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung usaha besar-besaran menentang gejala buli.
“Selain khutbah khas, beberapa program turut dilaksanakan termasuk Kempen Anti Buli bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJS).
“Kempen kesedaran juga akan diadakan di seluruh Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd Fared, kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran kepada semua pihak termasuk mahasiswa, pelajar, kakitangan awam dan masyarakat mengenai kesan buruk buli yang biasanya melibatkan trauma, kehilangan kehormatan diri serta gangguan emosi kepada mangsa.
“Kempen ini juga mampu membentuk sikap empati dalam kalangan masyarakat bagi membanteras gejala buli yang boleh merosakkan jati diri generasi muda,” katanya.
Sebelum itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bersama Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail, berangkat melawat seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli di Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru, pada Selasa.
Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, dilaporkan mengalami gegaran otak akibat insiden buli sehingga menjejaskan kehidupannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

