Tolak perbuatan buli fizikal atau emosi - Sultan Kedah

Sultan Sallehudin berkenan bertitah pada Majlis Haflu Takrim Lembaga Maktab Mahmud Tahun 1447H/2025M pada Selasa di Alor Setar.
Sultan Sallehudin berkenan bertitah pada Majlis Haflu Takrim Lembaga Maktab Mahmud Tahun 1447H/2025M pada Selasa di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru masyarakat supaya membina budaya kasih sayang dan hormat-menghormati serta menolak sepenuhnya budaya membuli demi melahirkan generasi berakhlak mulia.

Titah berkenaan disampaikan sempena Majlis Haflu Takrim Lembaga Maktab Mahmud Tahun 1447H/2025M yang berlangsung di Dewan Insaniah, Lembaga Zakat Negeri Kedah, di sini.

Sultan Sallehuddin bertitah, kejayaan pelajar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi sahsiah dan akhlak yang terpuji.

“Marilah kita membina budaya kasih sayang, hormat-menghormati dan menolak segala bentuk perbuatan yang tidak berakhlak seperti membuli, sama ada secara fizikal atau emosi, yang membawa kemudaratan serta masalah kepada semua pihak,” titah baginda pada Selasa.

Baginda turut menegaskan bahawa tanggungjawab membentuk generasi muda yang berkualiti tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada guru dan sekolah sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada ibu bapa, keluarga, masyarakat serta institusi lain.

Dalam titah tersebut, Tuanku Sultan turut menyentuh kepentingan ilmu sebagai asas kepada kemajuan insan dan negara, selain menyeru agar pelajar terus menuntut ilmu sepanjang hayat.

“Ilmu pengetahuan adalah kunci kepada kemajuan. Teruskanlah usaha menuntut ilmu, bukan sahaja di bangku sekolah tetapi juga sepanjang hayat,” titah baginda lagi.

Majlis Haflu Takrim tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang dari Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih mereka dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Sultan Sallehuddin turut merakamkan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa atas sokongan serta bimbingan yang tidak berbelah bahagi dalam mendidik anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!