Kos rawatan tanah tinggi jejas projek Kompleks Sukan Seri Iskandar

Khairudin menyempurnakan gimik pelepasan peserta Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, Parit pada Selasa.
Khairudin menyempurnakan gimik pelepasan peserta Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, Parit pada Selasa.
A
A
A

PARIT - Projek Kompleks Sukan Seri Iskandar belum dapat dimuktamadkan kerana tapak cadangan memerlukan kerja rawatan tanah dengan kos tinggi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia boleh dibawa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Khairudin
Khairudin

Menurutnya, lawatan bersama pihak pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sudah pun dijalankan, namun permasalahan tapak masih menjadi penghalang utama.

"Saya sendiri sudah turun dua kali bersama bahagian pembangunan KBS, JBS dan pegawai daerah untuk meninjau tapak asal serta tapak alternatif. Perbincangan masih berjalan.

"Yang pentingnya, proses ini (penyediaan tapak) telah dimulakan sejak awal 2018 lagi, kita melihat dari segi kesesuaian dan sebagainya," katanya selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari di sini pada Selasa.

Khairudin berkata, usaha membangunkan Kompleks Sukan Seri Iskandar bukan perkara baharu kerana sudah mula diperjuangkan sejak era bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan diteruskan oleh barisan Exco selepas itu.

"Saya yakin pembinaan kompleks ini akan dimasukkan sebagai salah satu projek keutamaan dalam RMK13 selepas isu teknikal tapak diselesaikan nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini menjelaskan pihaknya masih menunggu penyelesaian isu tapak oleh kerajaan negeri sebelum permohonan pembinaan kompleks tersebut dikemukakan semula kepada KBS untuk dipertimbangkan dalam RMK13.

Sementara itu, Khairudin berkata, Konvoi Merdeka Mercedes-Benz Klasik yang disertai hampir 80 kereta memeriahkan sambutan bulan kebangsaan di daerah Perak Tengah.

Katanya, penyertaan 11 sekolah yang meraikan konvoi sepanjang laluan dari Seri Iskandar ke Seberang Perak memberikan peluang kepada pelajar memahami erti kemerdekaan dan semangat patriotisme sejak di bangku sekolah.

"Usaha ini penting bagi membentuk generasi yang memahami kepentingan menjaga perpaduan negara. Semangat yang ditunjukkan oleh peserta konvoi juga sudah pastinya akan terus menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan, khususnya di Parlimen Parit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!