20 peratus tanah lembap boleh lenyap menjelang 2050 - Saintis

MOSCOW - Kira-kira 20 peratus tanah lembap (wetland) dunia boleh lenyap menjelang 2050.
Tanah lembap merupakan antara ekosistem paling bernilai di planet ini walaupun tergolong dalam kategori paling rapuh, menurut amaran saintis dari Universiti Tomsk, Rusia, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Mereka menekankan bahawa sejak 1970, manusia telah kehilangan hampir 22 peratus tanah lembap atau kira-kira 411 juta hektar.
Jika trend itu berterusan, hampir 20 peratus daripada tanah lembap yang tinggal mungkin lenyap sepenuhnya menjelang 2050.
Tanah lembap merangkumi paya, tasik, sungai, takungan buatan, serta kawasan pinggir pantai laut.
Walaupun tanah paya sahaja meliputi hampir enam peratus daripada permukaan bumi, ia menyumbang lebih 7.5 peratus kepada KDNK global.
Ekosistem tanah lembap bukan sahaja membekalkan air bersih, melindungi daripada banjir dan menyokong pertanian, malah berfungsi sebagai penyerap karbon yang sangat besar.
Namun, di bawah tekanan perubahan iklim dan aktiviti manusia yang berterusan, tanah lembap lenyap pada kadar lebih cepat berbanding mana-mana habitat semula jadi lain.
Tanah lembap memainkan peranan luar biasa dalam pengawalaturan iklim dengan keupayaan mengasingkan karbon dalam endapan gambut.
Ia merupakan satu-satunya jenis persekitaran semula jadi yang secara konsisten menyejukkan iklim global, menurut Profesor Madya di Institut Biologi Tomsk State University, Dr Irina Volkova.
Beliau menegaskan bahawa tanah lembap mengandungi dua kali ganda jumlah karbon yang disimpan oleh hutan.
Tanah lembap yang luas di Siberia Barat, mempunyai kepentingan khusus, termasuk Great Vasyugan Mire, lembangan gambut terbesar di Bumi.
Sehubungan itu, saintis menegaskan kepentingan memulihara tanah lembap kerana ia amat penting dari segi ekologi dan ekonomi, dan kehilangannya boleh membawa kepada ketidakstabilan iklim, pengurangan sumber air tawar, serta peningkatan kejadian banjir besar. - Bernama-QNA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
