Pemilik rumah paling keras kepala di China akhirnya berpindah akibat bising trafik

Pemilik rumah terkenal di China digelar Eye of Jinxi, akhirnya meninggalkan kediamannya selepas tidak tahan dengan bunyi trafik berterusan di lebuh raya yang dibina mengelilingi rumah tersebut. Foto Agensi
Pemilik rumah terkenal di China digelar Eye of Jinxi, akhirnya meninggalkan kediamannya selepas tidak tahan dengan bunyi trafik berterusan di lebuh raya yang dibina mengelilingi rumah tersebut. Foto Agensi
A
A
A

JIANXI - Pemilik rumah paling terkenal di China yang digelar Eye of Jinxi akhirnya meninggalkan kediamannya selepas tidak tahan dengan bunyi kenderaan yang lalu-lalang 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Rumah berkenaan menjadi tumpuan media pada April lalu apabila sebuah lebuh raya dibina mengelilinginya.

Seperti beberapa pemilik rumah lain di negara itu, Huang Ping pada awalnya menolak tawaran kerajaan wilayah untuk membeli hartanahnya dan tetap berkeras walaupun penduduk lain di kawasan tersebut telah berpindah.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Huang ditawarkan pampasan besar kira-kira 1.6 juta yuan (lebih kurang RM1.04 juta), namun beliau enggan menjual rumahnya.

Keputusan tersebut membawa kesan apabila kerajaan memutuskan untuk membina jalan raya mengelilingi rumahnya, menjadikannya kediaman terpencil di tengah-tengah lebuh raya.

Tanpa sebarang penebat bunyi, rumah yang dari pandangan atas kelihatan seperti mata di tengah lebuh raya itu akhirnya hampir tidak boleh didiami apabila trafik mula bergerak pada April lalu.

Huang dan keluarganya bertahan seketika, namun bunyi berterusan serta ketakutan akibat lori besar yang melalui hadapan rumah memaksa mereka berpindah.

Tarikh tepat mereka meninggalkan rumah tidak diketahui, tetapi penduduk mula menyedari keadaan itu selepas tingkap kediaman pecah dan rumput liar tumbuh di sekeliling rumah bulan lalu.

Apabila dihubungi media tempatan, Huang mengesahkan beliau dan keluarganya berpindah kerana tidak tahan dengan bunyi trafik yang berterusan serta perasaan takut yang dialami.

Artikel Berkaitan:

Keluarga itu kini memilih untuk menyewa rumah di bandar berhampiran dan masih belum dapat mengesahkan nasib rumah lama mereka.

“Anda mesti kuat hati untuk menghadapi ejekan penduduk kampung,” sindir seorang pengguna Weibo mengenai tindakan Huang.

“Sejujurnya, di kawasan pergunungan yang sunyi ini, jika kerajaan tidak membina jalan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, berapa banyak anda boleh jual rumah ini? Adakah sesiapa mahu beli?” tulis seorang lagi pengguna.

Penduduk setempat menggelar Huang sebagai ‘pemilik rumah paling keras kepala di China’.

Rumah itu turut menarik perhatian komuniti setempat serta menjadi lokasi kunjungan ramai untuk merakam gambar kerana keunikannya. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!