AEON Credit sasar jadi pemangkin ekosistem kewangan digital

AEON Credit Service (M) Bhd menyasarkan menjadi pemangkin ekosistem kewangan dengan memperkukuh usaha sama strategik bersama AEON CO (M) Bhd dalam menawarkan penyelesaian kewangan menyeluruh kepada pelanggan.
Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, syarikat itu telah banyak melabur dalam transformasi digital sejak beberapa tahun lalu dan kini dikenali sebagai penyedia kewangan pengguna yang kompetitif di pasaran.
"Kami bersama dengan bank digital bersedia menawarkan penyelesaian kewangan yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Usaha Sama antara AEON Credit dan AEON Malaysia di sini pada Selasa.
Tambah Daisuke, AEON juga mempunyai lebih lima juta ahli mata ganjaran, namun data pelanggan itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dengan memindahkan perniagaan mata ganjaran dan pemasaran data ke dalam usaha sama ini, kami yakin dapat meningkatkan pengalaman pelanggan serta integrasi.
"AEON Credit bukan sahaja berperanan sebagai syarikat kewangan tetapi juga sebagai pemangkin ekosistem,” katanya.
Mengulas mengenai pelaburan masa depan, Maeda berkata, jumlah keseluruhan bernilai RM123 juta bakal dilaburkan dengan AEON Credit memegang 51 peratus ekuiti manakala AEON pula sebanyak 49 peratus, melibatkan pelaburan awal RM50 juta.
“Pelaburan ini bukan sahaja membangunkan tulang belakang digital tetapi turut menyediakan platform pasaran bagi semua perniagaan untuk bersama dalam ekosistem AEON, sekali gus memahami corak tingkah laku dan keutamaan pelanggan.
“Kami menjangkakan dalam tempoh tiga tahun, keuntungan boleh diraih semula menerusi perniagaan mata ganjaran dan pemasaran data,” ujar beliau.
Menurutnya, langkah kerjasama itu juga selaras dengan strategi syarikat untuk menembusi segmen pelanggan berpendapatan pertengahan (M40) selepas mengakui wujud cabaran pembayaran balik dalam kalangan pelanggan B40.
“Dengan mempromosikan keahlian menerusi usaha sama ini, AEON Credit akan menawarkan pinjaman peribadi terbina dalam aplikasi, selain pelbagai produk kewangan lain yang lebih komprehensif.
“Langkah ini diyakini dapat memperkukuh kedudukan AEON Credit dalam segmen M40 yang menjadi kumpulan pelanggan utama kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, selain manfaat kepada pelanggan, entiti baharu itu juga akan berperanan sebagai pusat pertukaran data komersial dan pemasaran bagi membolehkan syarikat serta rakan niaga Kumpulan AEON mendekati pangkalan pelanggan mereka dengan lebih relevan dan memberi impak.
“Dengan menggabungkan kekuatan runcit kami bersama infrastruktur digital dan kewangan AEON Credit, kami akan bersama-sama mencipta ekosistem keahlian pintar yang akan berkembang seiring dengan kehendak pelanggan.
"Usaha sama ini merupakan tonggak penting dalam strategi transformasi digital dan sinergi jangka panjang seluruh Kumpulan AEON," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

