Lelaki dicekup selepas hampir 45 tahun diburu kerana kes curi gandum

Ketika kejadian, gandum berkualiti bernilai kira-kira RM4.99. Foto hiasan
Ketika kejadian, gandum berkualiti bernilai kira-kira RM4.99. Foto hiasan
A
A
A

MADHYA PRADESH – Seorang lelaki berusia 65 tahun akhirnya ditahan polis selepas hampir 45 tahun melarikan diri susulan kes kecurian gandum bernilai 100 rupee (RM4.34) pada 1980.

Suspek dikenali sebagai Salim, yang ketika kejadian berusia sekitar 20 tahun, didakwa terlibat bersama enam individu lain menceroboh sebuah ladang di kawasan Balsamund Kakad, berhampiran kampung Balkhad, sebelum melarikan sejumlah kecil gandum.

Ketika itu, harga gandum berkualiti baik dianggarkan sekitar Rs115 (RM4.99) bagi setiap 100 kilogram (kg).

Menurut polis, sejurus kejadian, Salim dan keluarganya meninggalkan kampung tersebut dan berpindah ke daerah Dhar sebelum memulakan kehidupan baharu dengan mengusahakan sebuah kedai runcit kecil.

“Suspek menetap secara senyap selama beberapa dekad dan dipercayai membina kehidupan normal bersama keluarganya,” kata seorang pegawai polis.

Bagaimanapun, operasi khas polis Madhya Pradesh bagi menyelesaikan kes tertunggak dan menahan individu yang masih diburu membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.

Pegawai Polis Subdivisyen (SDOP) Mandleswar, Shweta Shukla berkata, kempen yang dijalankan dari 1 hingga 31 Januari lalu menyaksikan pihaknya menyemak semula waran lama serta kes jenayah yang belum selesai.

“Maklumat baharu mengenai lokasi suspek diperoleh daripada seorang kenalan lamanya sebelum pasukan polis dari pos Khaltaka bertindak menahannya pada Sabtu.

“Walaupun nilai kecurian kecil, penglibatan tujuh individu menyebabkan kes itu direkodkan sebagai serius pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

“Setiap pegawai baharu cuba menyelesaikan kes lama, namun ada yang berlarutan bertahun-tahun. Usaha terkini menjejaki pesalah lama akhirnya membawa kepada penahanan ini,” ujarnya.

Salim kini didakwa mengikut peruntukan berkaitan kesalahan mencuri, yang sebelum ini di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan India dan kini dikemas kini di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita, sebelum dihadapkan ke mahkamah. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki berusia 65 tahun ditahan selepas hampir 45 tahun untuk kes kecurian gandum bernilai 100 rupee pada 1980
  • Suspek bernama Salim terlibat dalam kecurian di ladang dekat kampung Balsamund Kakad bersama enam individu lain
  • Salim berpindah dan memulakan kehidupan baru dengan keluarganya di daerah Dhar dengan mengusahakan kedai runcit
  • Operasi khas polis pada Januari membawa kepada penahanan Salim melalui maklumat dari kenalan lama
  • Salim didakwa mengikut peruntukan berkaitan kesalahan mencuri yang dikemas kini di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!