24 tangkapan seludup daging khinzir sejak 2024

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya membuat 24 tangkapan terhadap cubaan menyeludup 640 tan metrik daging khinzir bagi tempoh tahun 2024 sehingga Julai 2025.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia hasil tindakan penguatkuasaan berterusan yang dijalankan di sempadan negara.
“Dalam tempoh yang sama, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pula telah berjaya melaksanakan 18 kes rampasan yang melibatkan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran dan rampasan.
“Ia dilakukan di premis jualan atau simpanan karkas babi sejuk beku yang disyaki diimport tanpa kebenaran di negeri Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kementerian sentiasa mengambil langkah tegas bagi mengawal pengimportan dan membanteras aktiviti penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara, terutamanya dari negara yang dikenal pasti mempunyai penularan penyakit berbahaya seperti Streptococcus Suis dan African Swine Fever (ASF),” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanyakan tentang tindakan penguatkuasaan MAQIS ke atas pengimportan dan penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara terutamanya dari Thailand dan negara lain yang mempunyai wabak Streptococcus Suis dan African Swine Fever.
Tambah Arthur, kawalan pengimportan dilaksanakan oleh MAQIS adalah melalui mekanisme pemeriksaan dokumen termasuk keperluan import permit dan sijil kesihatan veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena di pintu masuk sempadan negara.
Selain itu, persampelan terhadap produk khinzir juga dijalankan bagi memastikan produk tersebut bebas dari sebarang penyakit sebelum dibenarkan masuk.
“Bagi membendung penyeludupan yang berlaku di luar pintu masuk negara, perkara ini ditangani oleh pihak DVS terutamanya melalui kerjasama strategik seperti rondaan dan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.
“Ia termasuklah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kemasukan daging khinzir secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], termasuk denda yang tinggi dan tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati bersalah.
Selain itu, peruntukan di bawah Akta Binatang 1953 [Akta 647] juga membolehkan pihak DVS mengambil tindakan terhadap isu berkaitan.
“Kementerian juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kerjasama dengan negara jiran dan menjalankan program kesedaran kepada orang ramai bagi membanteras risiko kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan industri penternakan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

