Tipu plat kenderaan beli diesel subsidi, wanita Thailand dicekup

PADANG TERAP – Taktik licik seorang wanita warga Thailand yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan Malaysia demi mendapatkan minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kuala Nerang.
Dalam kejadian pada Sabtu, wanita berusia lingkungan 40-an itu dikesan memandu sebuah pikap jenis Isuzu D-Max yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu ketika mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sini.
Menurut Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, hasil risikan dan aduan awam membawa kepada pemantauan rapi sebelum pasukan serbuan bertindak menahan kenderaan terbabit.
“Selepas selesai mengisi minyak, kenderaan itu dilihat bergerak ke bahagian belakang stesen dan menukar semula nombor pendaftaran kepada nombor asal yang berdaftar di Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan tangki khas untuk menyimpan diesel dalam jumlah besar.

Sebanyak 273 liter minyak disyaki diesel berjaya disita dengan nilai RM791.73, bersama resit pembelian dan dokumen perniagaan.
Turut disita ialah kenderaan pikap terbabit dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM30,791.73.
Muhammad Nizam berkata, siasatan turut dijalankan terhadap stesen minyak berkenaan selepas didapati menjual diesel melebihi had yang dibenarkan dalam satu transaksi sekali gus melanggar Arahan Pengawal Bekalan.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman berat kepada pesalah individu iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara lima tahun.
Bagi kesalahan yang dilakukan oleh syarikat pula, denda sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Tambah Muhammad Nizam, KPDN menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan menerusi inisiatif KITA GEMPUR bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan subsidi.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan atau ketirisan subsidi digalakkan untuk menyalurkan aduan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp, portal e-aduan, talian hotline, aplikasi EZ ADU atau terus ke pejabat KPDN negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

