90 peratus kes Covid-19 dari kluster tabligh; Exco Kedah

Dr Ismail Salleh
Dr Ismail Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Dianggarkan 90 peratus kes positif Covid-19 di Kedah mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Selangor baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, 28 kes daripada 31 kes terbabit yang direkodkan setakat semalam adalah berpunca daripada kluster perhimpunan tabligh berkenaan.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya menggesa peserta dari Kedah yang hadir perhimpunan berkenaan dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan jemaah itu segera melakukan saringan kesihatan sekiranya belum berbuat demikian.

“Mereka boleh tampil di mana-mana 60 klinik kesihatan, 41 darinya klinik kesihatan yang dilatih khas untuk ambil spesimen dari kerongkong.

"Beberapa buah klinik beroperasi pada hari Jumaat dan Sabtu khusus untuk menerima ahli jemaah tabligh yang ingin lakukan pemeriksaan.

"Ia perlu dilakukan sebelum 31 Mac untuk bendung penularan wabak kerana tempoh inkubasi virus ini mengambil masa dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dr Ismail berkata, kluster perhimpunan tabligh ini merupakan gelombang kedua Covid-19, dan perlu ditangani segera bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga yang dibimbangi lebih serius.

“Gelombang pertama dalam negara adalah berpunca daripada individu yang melawat China, selepas 11 hari berlaku gelombang kedua, iaitu kluster jemaah tabligh di mana dijangkiti di seluruh negara sehingga 64 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gesaan itu bukan untuk menghukum jemaah tabligh, sebaliknya keperluan dalam membendung penularan wabak.

“Perhimpunan itu menyebabkan jangkitan baharu selepas mereka pulang ke negara masing-masing, sebanyak 25 buah negara terlibat termasuk kes di Singapura dan Brunei,” katanya.

Dr Ismail berkata, pemeriksaan perlu dilakukan kerana 80 peratus pesakit dijangkiti hanya alami masalah kesihatan minima, berbanding 20 peratus berdepan masalah kesihatan serius sehingga dibantu alat bantuan pernafasan.

“Ketika berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan, kita arahkan semua masjid bersihkan persekitaran termasuk ruang dalam masjid dengan semburan antiseptik agar bebas virus Covid-19,” katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu ada kefahaman jelas berhubung Covid-19 supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang penularannya.

“Setakat semalam, 159 negara dengan lebih 180,000 kes dengan lebih 7,000 kematian direkodkan. Walaupun kadar kematian rendah sekitar 3 ke 4 peratus, namun kadar jangkitannya tinggi.

"Virus ini hanya perlukan dua hari untuk jangkiti 1,000 pesakit dalam tempoh 48 jam, berbanding MERS-CoV dua bulan setengah manakala SARSr-CoV selama empat bulan bagi jumlah pesakit yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, perintah kawalan pergerakan hendaklah dipatuhi secara menyeluruh bagi mengelak jangkitan di tempat awam.

“Negara tidak pernah berdepan situasi sebegini, perlu ada kefahaman dan arahan jelas agar rakyat tidak panik. Perintah kawalan pergerakan akan terencat jika orang ramai balik kampung sepanjang tempoh itu, hanya perlu hadkan pergerakan di persekitaran rumah kecuali ada hal penting,” katanya.

Dr Ismail yang juga Exco Kesihatan berkata, pihaknya berharap semua pengusaha kedai makan mematuhi peraturan, hasil pemantauan mendapati sebahagian besar mempamer pemakluman berhubung larangan makan di kedai.

“Ada kedai makan ambil inisiatif pamer makluman hanya benar beli dan bungkus, ini usaha yang baik. Ini kerana pemantauan penguatkuasaan tertakluk pada pihak polis dan jika sabit kesalahan boleh didenda dua tahun penjara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan yang masih berdegil dan memaksa pekerja bekerja di premis boleh dikenakan tindakan tegas.

“Pekerja boleh hubungi Jabatan Tenaga Kerja atas kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan. Salurkan maklumat segera, kita tak mahu kes meningkat disebabkan kes terpencil, patuhi arahan kerajaan secara maksimum,” katanya.