Uji cendawan beracun pada anjing, sekeluarga jadi mangsa

SICHUAN – Tindakan seorang lelaki warga emas memberi anjingnya makan cendawan hutan sebagai ‘ujian keselamatan’ sebelum dimakan ahli keluarga bertukar tragedi apabila mereka semua dimasukkan ke hospital.
South China Morning Post melaporkan lelaki berusia 74 tahun itu menemui beberapa kelompok cendawan putih dan licin di ladang herba miliknya di wilayah Sichuan pada 13 Julai lalu.
Bentuknya menyerupai cendawan anai-anai yang biasa dijual di pasar tempatan.
Walaupun sedar cendawan liar boleh beracun, dia enggan membuangnya tetapi sebaliknya memasak dan memberi makan kepada anjing peliharaan terlebih dahulu.
Selepas dua hari, anjing berkenaan tidak menunjukkan reaksi luar biasa selain hilang selera makan.
Lelaki itu menyangka cendawan itu selamat dimakan lalu memasaknya untuk isteri dan anak. Namun, kedua-duanya hanya makan sedikit kerana bimbang.
Tiga jam kemudian, mereka mengalami loya dan cirit-birit sebelum segera dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan termasuk mencuci perut.
Ketika itu barulah mereka menyedari anjing yang hilang selera makan sebenarnya turut mengalami keracunan cendawan.
Kisah itu mencetuskan kecaman warganet yang menyifatkan tindakan lelaki terbabit sebagai tidak bertanggungjawab terhadap nyawa haiwan peliharaan.
Ada yang menganggap ia ‘balasan setimpal’ kerana menguji makanan beracun pada anjing.
China tidak mempunyai undang-undang menyeluruh melindungi haiwan peliharaan daripada penganiayaan.
Doktor pula menegaskan agar orang ramai tidak mengambil risiko memakan cendawan liar kerana banyak spesies beracun mudah disalah anggap sebagai boleh dimakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
