Kerajaan Perak biayai makanan petugas kesihatan

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak hari ini mengumumkan inisiatif tambahan dalam usaha menangani kesan penularan koronavirus (Covid-19) termasuk membiayai makanan petugas kesihatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, seramai 1,500 kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Perak yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19 diberikan sumbangan makanan percuma tersebut.

Menurutnya, sumbangan makanan yang akan bermula esok itu membabitkan makan tengah hari dan makan malam selama dua minggu dengan kos keseluruhan RM420,000.

"Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan dalam menangani wabak Covid-19.

"Selain itu, peruntukan khas sebanyak RM160,000 turut diberikan untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, mengenai bantuan sekali bayar yang diumumkan semalam, kerajaan negeri akan memberikan RM500 kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan.

Katanya, pemberian itu hanya melibatkan penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dan akan disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dalam masa terdekat melibatkan kos hampir RM2 juta.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak selama dua bulan iaitu pada Mac dan April dengan kos melebihi RM770,000.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua inisiatif yang diberikan itu merupakan sumbangan kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat dari golongan sasar di negeri Perak.

Semalam, Kerajaan Perak memperkenalkan beberapa inisiatif sebagai respon awal pentadbiran kerajaan negeri terhadap kesan Perintah Kawalan Pergerakan kepada golongan yang memerlukan.