Projek Jalan Bukit Kayu Hitam-Sadao dijangka siap lebih awal

BUKIT KAYU HITAM – Projek pembinaan jalan raya dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand bernilai RM141.58 juta kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 47 peratus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun sedikit ke belakang daripada jadual asal, kemajuan projek masih berada dalam landasan yang baik dan kontraktor diyakini mampu menyiapkannya mengikut jadual.
Menurutnya, projek yang bermula pada Jun 2024 itu dijangka siap menjelang September tahun ini.
“Saya dimaklumkan setakat 29 April, kemajuan projek 47 peratus, namun ia berpotensi untuk disiapkan lebih awal. Ini satu perkembangan yang baik kerana kita bukan sahaja dapat mengelakkan lanjutan masa (EOT), malah mungkin menyiapkannya lebih awal daripada jangkaan (AOT),” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek pada Sabtu.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah konsesi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi teknikal pelaksana.
Alexander berkata, skop projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala sepanjang 900 meter serta jalan perkhidmatan R5 sepanjang 300 meter menuju ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Projek ini turut melibatkan kerja-kerja perobohan dan penggantian 10 blok bangunan lama di Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam, Perlis serta pembinaan bangunan pos kawalan akhir dan pintu gerbang berbumbung,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur tersebut merupakan sebahagian daripada aspirasi Malaysia Madani dan Program MyJalan dalam usaha memastikan jaringan jalan raya yang selamat, berkualiti dan selesa untuk rakyat, khususnya di kawasan sempadan negara.
“Kita juga mahu pastikan aliran trafik di kawasan ini lebih lancar dan tidak sempit seperti sebelumnya. Tiada gunanya kita ada projek sebesar ini jika masalah aliran trafik tidak dapat ditangani.
“Sekiranya jiran kita di sebelah Thailand sudah membangunkan fasiliti mereka ke tahap antarabangsa, kita juga tidak boleh ketinggalan. Kemudahan kita mesti setaraf,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR, KDN serta pihak kontraktor yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan projek tersebut.
“Saya telah arahkan pengurus projek, JKR dan pihak kontraktor berganding bahu dan meneruskan sinergi bagi menyiapkan projek ini mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang ditetapkan selaras dengan sasaran ke arah sifar projek sakit.
“Kita mahu pastikan tiada lagi projek sakit di bawah Kementerian Kerja Raya. Kerjasama erat antara semua agensi amat penting dalam memastikan projek ini memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” ujarnya.
Pada November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand ketika itu, mengumumkan pembinaan jajaran baharu laluan menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao.
Pembinaan itu susulan keputusan kerajaan Thailand membina Kompleks CIQ Sadao yang baharu bagi menggantikan bangunan sedia ada yang tidak lagi mampu menampung aliran trafik dan jumlah pengunjung yang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

