40 tahun berkhidmat di awan biru - Ketua pramugari MAS dirai dalam penerbangan terakhir

SHAH ALAM – Seorang pramugari Malaysia Airlines (MAS), Zuhaimi Zainal, diraikan penuh emosi dalam penerbangan terakhirnya selepas 40 tahun berkhidmat di awan biru.
Momen bersejarah itu dirakam dan dimuat naik oleh anak perempuannya, Delilah Zainal, yang juga kru kabin MAS, menerusi akaun TikTok iamdelilahzainal baru-baru ini.
Delilah dilihat memakaikan tiara bertulis “Retired” dan selempang “Officially Retired” pada ibunya sebagai tanda penghargaan terhadap insan tersayang.
Zuhaimi kelihatan sebak dan beberapa kali cuba menahan air mata sebelum melakukan walk of honour buat kali terakhir di lorong pesawat sambil diiringi tepukan penumpang.
Menerusi kapsyen, Delilah turut menzahirkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian ibunya yang disifatkan penuh dedikasi dalam kerjaya dan membesarkan keluarga dengan kasih sayang.
“Leading Stewardess (LSS) atau ketua pramugari menamatkan perkhidmatan selepas 40 tahun. Tahniah atas persaraan, ibu!
“Selepas bertahun-tahun penuh kerja keras, dedikasi dan pengorbanan, akhirnya tiba masa untuk berehat, menikmati hidup dan memberi tumpuan kepada diri sendiri,” katanya.

Delilah berkata, dia amat bangga dengan segala pencapaian ibunya, bukan sahaja dalam kerjaya tetapi juga dalam membesarkan keluarga dengan penuh kasih sayang.
“Semoga bab baharu ini dipenuhi kesihatan yang baik, kegembiraan tanpa batas dan pengembaraan yang ibu impikan selama ini. Ibu memang layak untuk segala kebahagiaan di dunia. Sayang ibu selalu!” katanya.
Terdahulu, perkongsian video itu mendapat 642,200 tontonan dan 36,600 tanda suka, dengan warga maya mengucapkan selamat bersara serta memuji penampilan awet muda Zuhaimi biarpun sudah meniti usia 60 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

