Warga emas tidak mengaku rogol cucu saudara

Tertuduh (baju oren) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Jumaat.
Tertuduh (baju oren) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol cucu saudaranya antara tahun 2022 hingga 2023.

Tertuduh, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, warga emas yang juga pesara kerani sekolah itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas, antara 2022 hingga 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan hubungan tertuduh sebagai datuk saudara mangsa selain kediaman mereka berhampiran yang boleh menimbulkan risiko gangguan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, peguamnya memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya adalah duda yang kehilangan isteri, mempunyai empat orang anak, selain mengalami masalah kesihatan seperti sesak nafas yang memerlukan rawatan berkala di hospital dan masalah pendengaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan sehingga kes selesai

Artikel Berkaitan:

Kes ditetapkan pada 24 September depan untuk sebutan semula untuk laporan perubatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!