Warga emas ditahan disyaki rogol anak saudara OKU

BALIK PULAU - Seorang warga emas ditahan selepas disyaki merogol anak saudaranya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Kampung Kolam Ikan, Bayan Lepas pada 13 April lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek yang berusia 64 tahun dan tidak bekerja itu ditahan selepas ibu mangsa yang juga sepupu suspek membuat laporan polis.
Menurutnya, kelakuan tidak senonoh suspek terbongkar selepas ibu mangsa mendapati anak perempuannya berusia 27 tahun itu tiada di rumah ketika pulang daripada bekerja.
"Pada jam 6 petang Ahad lalu, ketika ibu mangsa pulang ke rumah, dia mendapati anak perempuannya tiada di rumah. Dia yang risau dengan keadaan anaknya kerana seorang OKU, telah mengajak rakannya untuk pergi mencari.
"Ibu mangsa seterusnya ke rumah sepupunya yang dipanggil sebagai Pak Long lalu mendapati anaknya itu berada di situ.
"Suspek memberitahu ibu mangsa bahawa mangsa datang ke rumahnya dengan berjalan kaki seorang diri untuk mandi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sazalee menambah, ibu mangsa kemudiannya terus meluru masuk ke rumah suspek dan mendapati anaknya sedang mandi dalam keadaan tidak berpakaian.
"Selepas ditanya, anak perempuannya telah menceritakan bahawa suspek telah melakukan perkara tidak senonoh terhadapnya di ruang tamu rumah tersebut.
"Ibu mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, suspek tinggal seorang diri di rumah kampung berkenaan manakala isteri dan anak-anaknya tinggal di Sungai Pinang, George Town.
"Kejadian disyaki berlaku lebih daripada satu kali tetapi mangsa tidak dapat menyatakan jumlah kejadian seks berlaku kerana mangsa seorang OKU pembelajaran sejak kecil dan tidak mampu memberi keterangan dengan jelas.
"Mangsa merupakan anak pertama daripada tiga beradik dan dia tidak pernah bersekolah. Mangsa tinggal bersama ibu dan adik-adiknya serta keluarga sepupu ibunya," katanya.
Jelasnya, pasukan forensik telah ke lokasi kejadian untuk menyiasat dan mengumpul bahan bukti.
"Polis menjumpai beberapa bahan bukti termasuk rambut, tompokan air mani di atas tilam dan baju T milik suspek. Suspek yang ditahan mengaku telah melakukan hubungan seks dengan mangsa.
"Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

