Asap panas muncul bawah tanah

DEPOK - Satu rakaman video memaparkan asap panas keluar dari bawah tanah di Jalan Raya Bogor, Depok, sehingga tular di media sosial, mendorong pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Tinjauan pada Selasa lalu mendapati asap berbau belerang itu keluar dari dalam tanah berhampiran tiang lampu yang terletak bersebelahan longkang.
Beberapa penduduk dan juruteknik Jabatan Perhubungan (Dishub) Depok dilihat menggali di sekitar tiang lampu bagi mencari punca asap.
Hasil pemeriksaan mendapati ia keluar dari kawasan bawah kabel tiang lampu.
Pihak berkuasa turut mengukur suhu asap tersebut dan mendapati ia berada pada tahap tinggi.
Juruteknik Lampu Jalan Awam (PJU) Dishub Depok, Agus Nursalim berkata, pihaknya telah memutuskan bekalan elektrik ke lampu berkenaan, namun asap masih keluar dari bawah tanah.
"Hari ini kami menerima maklumat mengenai asap keluar berhampiran kabel di Jalan Raya Bogor. Pemeriksaan mendapati, walaupun bekalan elektrik lampu PJU telah diputuskan, asap masih keluar dari tanah," katanya.
Beliau menjelaskan, siasatan awal menunjukkan asap itu tidak berpunca daripada kabel lampu PJU kerana kabel berada dalam keadaan baik tanpa tanda-tanda lebur akibat haba.
"Masih disiasat puncanya kerana asap keluar dari bawah tanah dan bukan dari kabel. Kabel PJU selamat, jadi kita akan teruskan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebab sebenar," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
