Pesta kahwin mega anak VIP India

Kira-kira 400,000 tetamu meraikan hari bahagia anak perempuan ahli politik Anant Singh pada Rabu lalu. Foto Agensi
Kira-kira 400,000 tetamu meraikan hari bahagia anak perempuan ahli politik Anant Singh pada Rabu lalu. Foto Agensi
A
A
A

PATNA - Kira-kira 400,000 tetamu membanjiri sebuah majlis perkahwinan sehingga mencetuskan kesesakan lalu lintas sepanjang hampir 10 kilometer, sekali gus menggambarkan skala kemeriahan acara itu yang turut mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Keraian yang meraikan hari bahagia Shivangi, anak perempuan ahli politik, Anant Singh itu berlangsung di kampung kelahirannya di Nadawan, negeri Bihar, Rabu lalu dengan kehadiran penduduk kampung, sekutu politik dan tetamu kenamaan (VIP).

Bagaimanapun, rekod kontroversi Anant yang juga ahli politik enam penggal dan berdepan puluhan kes jenayah, termasuk pertuduhan membunuh, tidak menghalang majlis itu daripada berlangsung meriah.

Tetamu yang hadir dijamu dengan kira-kira 500,000 biji manisan tradisional, selain hidangan vegetarian yang disediakan oleh 500 tukang masak dan cef.

Bagi memudahkan ketibaan tetamu kenamaan, pihak penganjur turut menyediakan lima kawasan pendaratan helikopter manakala acara perlumbaan kuda terpaksa ditangguhkan susulan kehadiran kira-kira 100,000 penonton yang berpusu-pusu mahu menyaksikannya.

Kemewahan majlis itu turut diserlahkan menerusi hiasan bunga yang diimport khas dari China dan pertunjukan bunga api.

Pengantin perempuan tiba dengan menaiki kereta mewah BMW manakala pasangannya, Rishikesh Kumar diiringi konvoi lebih 100 kenderaan.

Imej yang diterbitkan agensi berita Press Trust of India (PTI) menunjukkan ribuan orang berpusu-pusu untuk menyaksikan kemeriahan acara itu, malah ada yang sanggup bertenggek di atas pokok dan menara elektrik tanpa menghiraukan risiko keselamatan.

Orang ramai sanggup memanjat menara elektrik untuk menyaksikan acara meriah itu. Foto Agensi
Orang ramai sanggup memanjat menara elektrik untuk menyaksikan acara meriah itu. Foto Agensi

Anant turut mencuri perhatian apabila membuat kemunculan penuh bergaya dengan berdiri menerusi bumbung suria sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika dikerumuni lautan penyokongnya.

Penampilannya disifatkan penuh bergaya seperti dalam babak filem sehingga dikatakan mampu menenggelamkan gaya kemunculan mana-mana pengantin lelaki lain.

Media tempatan melaporkan, keluarga pihak perempuan menghadiahkan sebuah kereta bernilai 23 juta rupee (RM1,019,380), selain barangan kemas emas dan perak kepada pengantin lelaki.

Bagaimanapun, Anant enggan mendedahkan jumlah keseluruhan perbelanjaan yang ditanggung bagi meraikan perkahwinan anak perempuannya itu.

Kemeriahan acara itu bagaimanapun tidak dapat menandingi majlis perkahwinan Anant Ambani, anak bongsu taikun perniagaan, Mukesh Ambani yang berlangsung serba mewah pada 2024.

Menurut firma perunding KPMG, lebih 10 juta majlis perkahwinan diadakan di India setiap tahun yang menyumbang kepada industri perkahwinan dianggarkan bernilai antara AS$40 bilion (RM165 bilion) hingga AS$50 bilion (RM206 bilion). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!