Trump gesa Putin hentikan segala tindakan ketenteraan agresif di Eropah

Donald Trump (kiri) dan Vladimir Putin
Donald Trump (kiri) dan Vladimir Putin
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya menghentikan "segala tindakan ketenteraan agresif” di Eropah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam hantaran di Truth Social, Trump menyuarakan harapan agar persetujuan antara Rusia dan Ukraine dapat dicapai dengan segera.

"Saya benar-benar percaya kemungkinan ini amat besar,” kata Trump sambil memaklumkan bahawa beliau menyampaikan gesaan itu kepada Putin ketika rundingan di China minggu lepas.

Trump berkata beliau telah memberi taklimat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte mengenai rundingannya dengan Putin semasa pertemuan di kediaman peranginan Mar-a-Lago di Florida pada Rabu.

Menurut kenyataan bersama yang dimuat naik secara berasingan oleh Trump, pertemuan itu memberi tumpuan kepada perang di Ukraine dan Iran.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kepentingan Rusia dan Ukraine mengelakkan sebarang tindakan, sama ada disengajakan atau tidak, yang boleh menyebabkan konflik itu merebak.

Menurut pihak berkuasa Poland, tiga peluru berpandu krus memasuki ruang udara negara itu dan terhempas pada Jumaat lepas ketika Rusia melancarkan serangan udara berskala besar terhadap negara jiran, Ukraine.

Tiada kecederaan dilaporkan, manakala Rusia menafikan pembabitannya.

Trump berulang kali mempertahankan hubungan rapatnya dengan Putin.

Sejak memulakan penggal kedua, pentadbirannya berusaha mengubah peranan Washington daripada sekutu utama Ukraine kepada pengantara antara Kyiv dan Moscow.

Rusia telah melancarkan perang terhadap negara jirannya itu selama hampir lima tahun. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!