Penguin terancam dibiak menerusi permanian beradas

TOKYO - Sebuah zoo di Jepun pada Jumaat mengumumkan kejayaan membiakkan penguin spesies northern rockhopper yang diancam kepupusan melalui kaedah permanian beradas buat kali pertama di dunia.
Kejayaan itu disahkan menerusi analisis DNA terhadap seekor anak penguin yang baru menetas.
Spesies burung marin yang tidak boleh terbang itu mempunyai ciri khas berupa bulu kening berwarna kuning terang dan jambul bulu hitam yang tegak di bahagian atas kepala.
Nama rockhopper diberikan berdasarkan tabiatnya melompat dari satu batu ke batu lain ketika merentasi kawasan berbatu berbanding berjalan seperti penguin lain.
Spesies berkenaan berasal dari kawasan Lautan Atlantik Selatan dan selatan Lautan Hindi.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jumlah penguin northern rockhopper dewasa dianggarkan kira-kira 400,000 ekor. Ia dikategorikan sebagai terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

