Agensi berita AFP jadi sasaran serangan siber

AFP yang berpangkalan di Paris menggantung sementara operasi platform kandungannya, AFP Forum susulan serangan siber, menurut pihak pengurusannya pada Khamis. - Foto: AFP
AFP yang berpangkalan di Paris menggantung sementara operasi platform kandungannya, AFP Forum susulan serangan siber, menurut pihak pengurusannya pada Khamis. - Foto: AFP
A
A
A

LONDON - Agensi berita antarabangsa Agence France-Presse (AFP) yang berpangkalan di Paris menggantung sementara operasi platform kandungannya, AFP Forum susulan serangan siber, menurut pihak pengurusannya pada Khamis.

Serangan yang bermula pada 1.30 pagi waktu Paris itu menyasarkan AFP Forum, platform bagi membolehkan pelanggan melayari dan memuat turun kandungan AFP, lapor Anadolu Ajansi memetik e-mel dalaman pihak pengurusan agensi berita berkenaan.

"Sebaik sahaja pencerobohan dikesan, pasukan kami segera mengambil tindakan untuk membendungnya dan menyahaktif AFP Forum sebagai langkah berjaga-jaga. AFP Forum tidak dapat diakses sehingga diberitahu kelak,” menurut e-mel itu.

Agensi berita itu memaklumkan bahawa kaedah alternatif disediakan kepada pelanggan sepanjang tempoh platform berkenaan tidak dapat diakses.

"Siasatan sedang dijalankan dengan bantuan pakar luar. Pada peringkat ini, kami belum mempunyai maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Serangan siber itu berlaku susulan beberapa insiden serupa yang menyasarkan syarikat dan institusi awam di Perancis serta negara lain sejak beberapa bulan lepas.

Sebahagian serangan itu dikaitkan dengan kumpulan penjenayah yang bermotifkan keuntungan kewangan, manakala serangan lain bertujuan mencetuskan ketidakstabilan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!