Pembukaan pejabat baharu AMD bukti Pulau Pinang destinasi pelaburan mampan

Kon Yeow (tengah) merasmikan Pejabat dan Makmal Kejuruteraan Baru AMD di GBS by The Sea di Bayan Lepas pada Khamis.
Kon Yeow (tengah) merasmikan Pejabat dan Makmal Kejuruteraan Baru AMD di GBS by The Sea di Bayan Lepas pada Khamis.
A
A
A

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang terus membuktikan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan mampan dan berkembang maju apabila syarikat teknologi terkemuka dunia, Advanced Micro Devices Inc (AMD) merasmikan pejabat dan makmal kejuruteraan terbaharu berteknologi tinggi di GBS by The Sea di sini pada Khamis.

Kemudahan berkeluasan 209,000 kaki persegi itu mampu menampung lebih 1,200 pekerja dan dilengkapi ruang kerja terbuka serta makmal kejuruteraan canggih bagi memacu kemajuan reka bentuk semikonduktor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian terbaharu AMD itu membuktikan syarikat antarabangsa bukan sahaja mampu bertapak, malah membesar dan berkembang di Pulau Pinang.

"Ketika AMD meraikan lebih lima dekad di Pulau Pinang, ini bukti kekuatan ekosistem pelaburan negeri ini.

"Kerajaan negeri melalui InvestPenang kekal komited menyokong pelabur berwawasan seperti AMD khususnya dalam teknologi hadapan seperti AI,” katanya.

Sebelum itu, Kon Yeow merasmikan Pejabat dan Makmal Kejuruteraan Baru AMD di GBS by The Sea di sini pada Khamis.

Tambah beliau, walaupun menjadi negeri kedua terkecil di Malaysia, Pulau Pinang terus membuktikan keupayaannya mencatat pencapaian mengagumkan dalam pembangunan ekonomi negara.

"Berdasarkan rekod tahun 2024, negeri ini berjaya merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM121 bilion iaitu bersamaan 7 peratus daripada jumlah keseluruhan negara.

"Kejayaan itu dipacu oleh dua sektor utama yang digelar 'Dua Enjin Pertumbuhan' iaitu sektor perkhidmatan yang menyumbang 48 peratus dan sektor pembuatan sebanyak 46.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia menjelang akhir tahun ini, Pulau Pinang berada pada kedudukan strategik untuk terus menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kemudahan baharu itu mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dengan peneraju teknologi global.

“Daripada pembuatan lima dekad lalu hingga pelaburan bernilai tinggi dalam reka bentuk litar bersepadu, perjalanan AMD selari dengan kemajuan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor.

"Selaras Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Rancangan Malaysia Ke-13, MIDA berbangga menyokong pertumbuhan strategik AMD di negara ini,” katanya.

AMD mula beroperasi di Pulau Pinang pada 1972 dan kini berkembang menjadi salah satu pusat penyelidikan, pembangunan dan operasi kejuruteraan penting syarikat di rantau ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!