Norman enggan ‘turunkan standard’, konsert GenKRU di Pulau Pinang dibatalkan

“KALAU tidak mampu beri yang terbaik, lebih baik kami hentikan.”
Itu penegasan pengasas kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berhubung pembatalan Konsert GenKRU di Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
Menurut Norman, 53, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira penanda aras tinggi yang telah ditetapkan pada siri konsert di Kuala Lumpur, sekali gus membuatkan mereka enggan ‘menurunkan standard’ hanya kerana faktor kos dan harga tiket lebih rendah.
“Konsert GenKRU sudah ada standard tersendiri. Jika diteruskan di Pulau Pinang, kami bimbang peminat kecewa kerana formatnya tidak sama seperti di KL. Biarlah hasil sebelum ini kekal istimewa,” katanya seperti dilaporkan media pada Selasa.
Norman menjelaskan, pengalaman mementaskan konsert di Singapura pada Jun lalu membuktikan persembahan dalam skala lebih kecil tidak memberikan impak sama seperti di Axiata Arena yang berjaya mengumpul 40,000 penonton untuk empat malam persembahan.
“Keputusan ini bukan bermaksud kami meminggirkan peminat di utara, tetapi kami percaya mereka juga mahu menyaksikan persembahan dalam skala sebenar, bukannya versi yang diperkecilkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, KRU merancang berehat seketika daripada format GenKRU sebelum kembali dengan konsep baharu, termasuk pemilihan lagu dan persembahan yang segar.
“Yusry dan Edry tidak gemar mengulang konsep atau gimik sama. Peminat kini sudah menjangka kejutan, apatah lagi rakaman persembahan mudah tersebar,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Konsert GenKRU di Axiata Arena pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai persembahan berskala mega dan mencatat sejarah baharu buat trio beradik itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
