Syarikat penginapan, dua ahli lembaga pengarah didakwa gagal bayar cukai

SEREMBAN – Sebuah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan penginapan dan dua ahli lembaga pengarah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan tahun lalu.
Tanjung Tuan Properties Sdn Bhd dan ahli lembaga pengarahnya, Mat Sham Ahmad, 70, yang turut mewakili Md Samlan Ahmad, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Kamil Nizam.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua mereka sebagai orang yang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, didapati gagal membayar amaun cukai bagi tempoh bercukai 1 Mei 2024 hingga 30 Jun 2024 dan 1 Julai 2024 hingga 31 Ogos 2024 sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Kesalahan itu dilakukan pada 31 Julai 2024 di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Port Dickson.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 78(1) akta sama.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Nur Nadia Mohd Rais, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 16 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

