Kes Zara Qairina: Peguam cadang AGC dakwa individu terlibat buli

Pengambilalihan siasatan kematian Zara Qairina oleh Pasukan JSJ Bukit Aman semalam adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dimohon oleh peguam ibu Allahyarhamah.
Pengambilalihan siasatan kematian Zara Qairina oleh Pasukan JSJ Bukit Aman semalam adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dimohon oleh peguam ibu Allahyarhamah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina Mahathir mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mendakwa individu yang terlibat dalam perbuatan buli seperti yang disebut dalam keterangan berkaitan kes kematian remaja itu.

Menurut pasukan peguam tersebut, cadangan itu dibuat susulan sidang media yang diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar pada Rabu berhubung kes kematian Zara Qairina.

"Antara pendedahan penting yang dibuat oleh beliau ialah hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman, wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.

"Jika keterangan-keterangan di atas boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan kepada AGC agar mendakwa individu atau individu-individu di dalam keterangan-keterangan tersebut yang melakukan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan," katanya kenyataan itu pada Khamis.

Jelas pasukan peguam, di bawah seksyen tersebut, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan. Namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan tersebut.

"Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan lanjut tadi dan pendakwaan boleh dilakukan kemudian," kata kenyataan tersebut.

Sebelum itu, kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh barisan peguam iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Artikel Berkaitan:

Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial apabila ia didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!