Dua beranak maut disyaki keracunan makanan di kenduri kahwin

Seorang wanita dan anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia pada Selasa, dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di di sebuah kampung di sini.
Seorang wanita dan anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia pada Selasa, dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di di sebuah kampung di sini.
A
A
A

TAWAU - Seorang wanita dan anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia pada Selasa, dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di di sebuah kampung di sini.

Mangsa, wanita berusia 36 tahun, bersama anak sulungnya berusia sembilan tahun, difahamkan mengalami gejala cirit-birit dan muntah sebelum disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya dan anaknya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan.

"Dalam laporan yang dibuat kira-kira jam 10.30 pagi Selasa, pengadu memaklumkan bahawa ibu saudara dan anaknya dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan pada Sabtu lalu.

"Hasil keterangan suami mangsa dan pengadu mendapati, dua beranak itu menghadiri majlis kenduri tersebut dan membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suaminya.

"Namun, selepas memakan makanan itu, suaminya turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Menurutnya, maklumat awal mendapati beberapa tetamu yang menghadiri majlis kenduri kahwin itu turut mengalami simptom cirit-birit dan muntah.

"Bagaimanapun, punca sebenar keracunan makanan masih dalam siasatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu siasatan polis. Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah juga hadir ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan," katanya.

Susulan kejadian itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian atau mengesan sebarang unsur lain.

Artikel Berkaitan:

"Bedah siasat selesai dijalankan pada kira-kira jam 6.30 petang Selasa dan mendapati tiada kesan kecederaan pada kedua-dua mayat," jelasnya.

Champin berkata, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan saksi lain yang turut menghadiri majlis kenduri itu, bagi mengenal pasti sama ada mereka juga mengalami simptom sama.

"Barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!