'Saya tidak akan berhenti berjuang demi keadilan Zara Qairina' - Nurul Izzah

SHAH ALAM - Perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak akan terhenti sehingga pihak yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, kejadian yang menimpa Zara Qairina menyatukan seluruh rakyat merentasi sempadan dan perbezaan.
Justeru, beliau juga tidak akan berhenti memperjuangkan persekitaran yang selamat untuk setiap anak di negara ini.
"Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
"Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Nurul Izzah menggesa orang ramai untuk terus berdoa, berusaha dan bertawakal supaya keadilan serta kebenaran ditegakkan dan roh Allahyarham Zara Qairina ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Pemergian tragis gadis ini menyentuh hati rakyat di seluruh negara dan menyatukan orang ramai merentasi sempadan serta perbezaan.
"Zara seperti anak kita semua. Pemergiannya menggerakkan kita untuk terus bersatu, cakna dan melindungi generasi akan datang daripada ancaman serta bahaya," katanya.
Dalam hantaran sama, Nurul Izzah berkata, beliau ke Kota Kinabalu, Sabah dua minggu lalu untuk bertemu Noraidah Lamat, namun ibu kepada Zara Qairina itu masih belum bersedia untuk berjumpanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana hari ini diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepada Noraidah secara bersemuka.
"Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasai kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat dan ceria," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
