Kes Zara Qairina: Polis buka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu

KUALA LUMPUR - Polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua kertas siasatan itu merangkumi pelbagai bentuk maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan.
"Kita akan mengambil tindakan tegas kerana penyebaran berita tidak benar boleh mempengaruhi persepsi awam terhadap kes yang masih dalam siasatan, selain menimbulkan kekeliruan," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Rabu.
M Kumar berkata, antara berita palsu yang disiasat ialah dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang disebarkan di media sosial.
“Kita menahan seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kita masih menunggu laporan forensik terhadap peranti yang dirampas bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan susulan diambil, nanum wanita itu sudah dibebaskan dengan jamin polis," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
