Cikgu Chandra ditahan didakwa muat naik kenyataan berbaur hasutan di Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikenali sebagai Cikgu Chandra ditahan selepas disyaki memuat naik kenyataan berbaur hasutan di media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 10 malam Selasa.
"Pengadu memaklumkan telah melihat satu paparan Facebook dimuat naik oleh suspek ketika berada di sekitar pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Kenyataan itu didakwa mengandungi unsur menghina serta menyentuh isu kuil haram yang bersifat menghasut, menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam dan sekali gus berpotensi mendorong sesuatu tindakan di luar kawalan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, sepasukan polis telah menahan suspek berkenaan pada jam 3 petang, Rabu.
"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut di Facebook.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku memuat naik posting berkenaan kerana berasa tidak berpuas hati dan bagi menarik perhatian pengikutnya di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Ringkasan AI
- Cikgu Chandra ditahan kerana disyaki muat naik kenyataan hasutan
- Ketua Polis Kuala Lumpur menerima laporan tentang kenyataan di Facebook
- Kenyataan itu didakwa menghina dan menyentuh isu kuil haram
- Suspek ditahan dan telefon bimbit dirampas
- Kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
