'Ketika saya bernikah, jasad mak ada di hadapan saya'

AMPANG – “Ketika saya bernikah, jasad mak ada di hadapan saya.”
Itu detik paling memilukan buat pengantin baharu, Nurul Hazwani Alias, 26, apabila ibunya, Jewayah Tajally, 70, menghembuskan nafas terakhir pada pagi hari pernikahannya selepas bertarung dengan kanser pankreas yang merebak ke paru-paru.
Menurut Nurul Hazwani, akad nikah bersama suaminya, Mohd Sharul Azman, 28, berlangsung pada jam 9 pagi di Surau Al-Firdaus, Ampang, manakala van jenazah arwah ibunya tiba kira-kira sejam kemudian.

“Ketika saya bernikah, jasad mak ada di hadapan saya. Saya percaya roh mak ada bersama, melihat saya dinikahkan. Saya yakin mak gembira kerana dapat menantu terakhir yang akan menjaga anaknya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya, majlis perkahwinan asal dirancang berlangsung pada Disember ini dan segala persiapan termasuk tempahan dewan serta katering telah dibuat, namun keputusan menyegerakan akad nikah dibuat selepas melihat tahap kesihatan ibunya semakin merosot.
Tambahnya, ibunya sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu mengenakan busana mengikut tema majlis, sebaliknya hanya menyebut satu permintaan ringkas iaitu mahu memakai baju putih.
“Saya sudah belikan baju hijau mengikut tema majlis untuk mak dan adik-beradik saya. Namun mak kata dia tak mahu baju apa-apa. Mak cuma cakap, mak nak pakai baju putih,” ujarnya.
Seminggu sebelum pernikahan, ibunya dimasukkan ke hospital dalam keadaan sangat lemah dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen selepas kanser pankreas yang dihidapinya merebak ke paru-paru.

Pada pagi Ahad, ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.
Nurul Hazwani yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, ibunya tidak meninggalkan sebarang pesan khusus berkaitan perkahwinan, sebaliknya hanya menasihatkan supaya menjadi isteri yang baik dan taat kepada suami.
Mengulas sokongan suami dalam menghadapi kehilangan besar itu, Nurul Hazwani berkata, Mohd Sharul menjadi kekuatan utamanya, lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Selepas kisah pernikahan dan pemergian ibunya tular di media sosial, Nurul Hazwani berkata, keluarganya menerima ribuan doa dan sokongan daripada orang ramai.
“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih. Semoga pahala doa-doa itu sampai kepada arwah mak. Ini semua saham akhirat buat dia. Saya sendiri tidak tahu amalan apa yang mak lakukan semasa hidup sehingga begitu ramai mendoakan,” katanya.
Ringkasan AI
- Ibu Nurul Hazwani meninggal pada pagi hari pernikahannya akibat kanser pankreas
- Akad nikah Nurul berlangsung di Surau Al-Firdaus, Ampang dan van jenazah ibunya tiba sejam kemudian
- Majlis perkahwinan diawalkan daripada rancangan asal Disember kerana kesihatan ibunya yang merosot
- Ibu Nurul hanya berhasrat memakai baju putih walaupun tema majlis adalah hijau
- Nurul menerima sokongan kuat dari suaminya, Mohd Sharul, dan ribuan doa dari orang ramai selepas kisahnya tular
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

