Pemandu Myvi rempuh lima kenderaan direman empat hari

MELAKA - Pemandu Perodua Myvi yang merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan seorang maut di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru direman selama empat hari bermula Rabu.
Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani terhadap suspek berusia 35 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang, Selasa, seorang penunggang motosikal maut manakala empat lagi termasuk suspek cedera selepas Perodua Myvi berkenaan terbabas ke laluan bertentangan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, yang menunggang motosikal Honda EX5 dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Bapa kepada empat anak itu dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah.
Kemalangan tersebut melibatkan enam kenderaan iaitu tiga motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Raider R150 dan Yamaha Y15ZR serta tiga kereta iaitu Proton Saga, BMW X3 dan Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi terbabit dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing dan pernafasan terhadap pemandu berusia 35 tahun itu didapati negatif daripada pengaruh dadah dan alkohol.
Ringkasan AI
- Pemandu Perodua Myvi merempuh lima kenderaan di Melaka menyebabkan seorang maut
- Suspek berumur 35 tahun direman empat hari untuk membantu siasatan
- Seorang penunggang motosikal maut dan empat lain cedera dalam kemalangan
- Mangsa maut adalah Mohd Shahrol Anuar, 44, dalam perjalanan mengambil anak OKU dari sekolah
- Siasatan mendapati pemandu Myvi mengalami 'microsleep', ujian air kencing dan pernafasan negatif dadah dan alkohol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

