Sindiket naikkan caj pulang PATI, cecah RM2,500 menjelang Ramadan

Antara PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Selangor Januari lalu. Foto kecil: Mohd Rosli
Antara PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Selangor Januari lalu. Foto kecil: Mohd Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal melalui jalan laut dikesan menunjukkan peningkatan menjelang bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kegiatan itu dikesan berdasarkan analisis Bahagian Perisikan Maritim Malaysia.

"Aliran keluar PATI terutamanya dari Indonesia akan mula meningkat apabila bermulanya bulan Ramadan memandangkan ramai PATI beragama Islam berhasrat untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman mereka.

"Kebanyakan PATI yang masuk ke Malaysia pula, mereka rela meninggalkan anak dan isteri di kampung serta ada juga kaum hawa dari Indonesia yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata untuk mencari nafkah atau cuba meningkatkan taraf hidup.

"Faktor utama ialah pendapatan disebabkan mata wang Malaysia lebih tinggi nilainya daripada Rupiah," katanya kepada Sinar Harian.

Antara PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Selangor Januari lalu.
Antara PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Selangor Januari lalu.

Beliau berkata, sindiket akan menawarkan khidmat penghantaran kepada PATI dengan mengambil peluang keemasan yang datang setahun sekali ini.

Jelasnya, jika dilihat dari segi kos perkhidmatan mereka, harga pada bulan-bulan biasa sekitar RM1,500 hingga RM1,800 setiap seorang, namun menjelang Ramadan ini, sindiket mengenakan caj mencecah RM2,000 hingga RM2,500.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa harga yang ditawarkan akan terus meningkat menjelang perayaan bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan.

"Dari segi perkhidmatan yang diberikan, sindiket akan menyediakan khidmat seperti rumah penampungan sebelum ke bot, penghantaran atau pick-up service dari mana-mana lokasi ke rumah penampungan, penghantaran dari rumah penampungan ke lokasi bot dan akhir sekali dari bot ke Indonesia," ujarnya.

Tegasnya, Maritim Malaysia mengambil langkah serius dan proaktif terhadap isu penyeludupan PATI.

"Menjelang musim perayaan sebagaimana biasa kita akan melancarkan Op Khas Pagar Laut dan meningkatkan kesiapsiagaan aset di laut bagi mengawal ketat sempadan dan perairan negara daripada salah laku di laut termasuk penyeludupan PATI.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak atau individu yang melanggar serta melakukan kesalahan di bawah undang-undang persekutuan Malaysia," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan PATI meningkat menjelang bulan Ramadan
  • Kegiatan berdasarkan analisis Bahagian Perisikan Maritim Malaysia
  • Aliran keluar PATI terutama dari Indonesia untuk sambut Aidilfitri
  • Kos perkhidmatan sindiket meningkat menjelang Ramadan
  • Maritim Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan dan melakukan Op Khas Pagar Laut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!