Video AI anti-Muslim cetus kemarahan

NEW DELHI - Sebuah video dijana teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikongsi parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) telah mencetuskan kemarahan Muslim.
Klip berjudul point blank shot berdurasi 17 saat di platform X itu turut dikongsi secara meluas di media sosial pada Sabtu lalu.
Video tersebut yang memaparkan tindakan Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma mengacukan selaras raifal ke arah dua lelaki Muslim dengan kapsyen 'tanpa belas kasihan' bagaimanapun telah dipadamkan setelah dikecam banyak pihak termasuk dalam kalangan ahli politik puak pembangkang.
Sarma didakwa melancarkan kempen xenofobia ke atas Muslim yang membentuk satu pertiga daripada populasi di negeri tersebut sebelum pemilihan dijadualkan pada Mac atau April depan.
Klip janaan AI itu juga menunjukkan imej Sarma berpakaian seperti koboi sambil memegang sepucuk pistol dengan kapsyen 'orang asing bebaskan Assam'.
Pemimpin tersebut dikatakan berulang kali menggunakan retorik anti-Islam terutamanya terhadap mereka yang berketurunan Bengali dan mengaitkan kumpulan tersebut dengan jenayah serta perubahan demografi.
Pada bulan lalu, Sarma menggesa penduduk Assam supaya menyukarkan hidup komuniti atau Miya Muslim iaitu istilah penghinaan kepada komuniti tersebut.
"Mereka akan tinggalkan negeri ini jika kita susahkan hidup mereka," katanya dengan angkuh.
Sementara itu, pemimpin Kongres Kebangsaaan India berpusat di Assam, Aman Wadud menyifatkan video tersebut 'sangat mengganggu'.
"BJP telah berulang kali membuktikan mereka tidak menghormati undang-undang dan ia jelas satu bentuk hasutan keganasan serta pembunuhan beramai-ramai ke atas Muslim," tegasnya.
Pada September lalu, BJP di Assam pernah memuat naik video janaan AI yang sewenang-wenangnya melabel Muslim di negeri itu sebagai 'pendatang haram' di tengah-tengah sentimen anti-Islam yang berlaku di bawah konteks perang budaya ke atas golongan tersebut yang meliputi 14 peratus daripada 1.4 juta penduduk di India. - Agensi
Ringkasan AI
- Video AI yang menampilkan Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma mengacukan raifal ke arah dua lelaki Muslim mencetuskan kemarahan
- Dipadamkan setelah mendapat kecaman dari banyak pihak termasuk pembangkang
- Himanta Biswa Sarma didakwa melancarkan kempen xenofobia terhadap Muslim
- Video menunjukkan Sarma berpakaian koboi dengan kapsyen 'orang asing bebaskan Assam'
- Pemimpin Kongres Kebangsaan India menyifatkan video tersebut sebagai 'sangat mengganggu' dan bentuk hasutan keganasan terhadap Muslim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

