KLIA jangan sampai digelar lubuk seludup, malu pada orang luar

DI SEBALIK jutaan pelancong asing yang mendarat setiap tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pintu masuk utama negara itu juga tidak pernah sunyi daripada isu penyeludupan.
Bukan sahaja dadah, hidupan liar juga tidak terlepas daripada diseludup melalui kompleks serba canggih dan moden itu.
Tidak cukup dengan itu, warga asing juga mencuba nasib menceroboh ke dalam negara dengan memanipulasi dokumen konon sebagai pelancong.
Keadaan ini kerap Merak Jalanan saksikan sendiri akhir-akhir ini. Pihak berkuasa banyak kali berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kura-kura, ungka dan bermacam lagi selain kes bawa dadah serta warga asing tanpa dokumen sah.
Biarpun tindakan tegas diambil, namun kes sebegini masih dilaporkan berlaku. Merak Jalanan terfikir, apakah puncanya? Persoalan itu perlu diambil serius. Isu ini harus digali sebaik-baiknya. Jangan sesekali pandang remeh.
Bagi Merak Jalanan, pihak berwajib wajar memperhalusi segera sama ada isu integriti, jumlah keanggotaan serta aset berteknologi agar isu penyeludupan di KLIA dapat dinoktahkan.
Ini kerana sebarang isu di pintu masuk utama, akan menjadi perhatian dunia. Mereka akan menilai baik buruknya negara kita. Malu kita kalau KLIA digelar lubuk seludup.
Daripada laporan-laporan berita, Merak Jalanan lihat banyak faktor akan menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia termasuk isu seludup tadi.
Dibimbangi ada orang luar meremehkan negara kita. Ini termasuklah dakwaan isu rasuah atau kelemahan lain.
Pihak kerajaan perlu selesaikan segera segala kelemahan demi memperkukuh keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Usah biarkan mana-mana pihak cuba mengeksploitasi kelemahan sistem keselamatan di pintu gerbang Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
