Kerajaan jamin pelajar autisme tetap dapat tempat di IPTA

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dinafikan hak memohon kemasukan ke universiti awam (UA) kerana autisme akan tetap ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau telah mengarahkan siasatan terhadap kes itu dan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Hal yang berlaku kepada pelajar OKU berkenaan akan dikendalikan, insya-ALLAH. Kita akan pastikan beliau dapat belajar di salah satu IPTA yang diminta.
“Yang terkini, saya dimaklumkan bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga sedang melihat kes ini sama ada terdapat kesesuaian untuk beliau agar dapat ditempatkan di sana. Saya rasa itu antara universiti pilihan beliau,” katanya pada sesi sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan mengenai kes pelajar tersebut serta langkah kementerian membantu pelajar OKU cemerlang dalam akademik untuk mendaftar ke universiti.
Sebuah pertubuhan kesihatan mental baru-baru ini menyuarakan kebimbangan terhadap insiden seorang pelajar didakwa tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam kerana menghidap autisme.
Menurut hantaran di Facebook, pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Aniq dilaporkan memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) matrikulasi 3.83 dan memenuhi syarat am serta khas program yang dipohon.
Aniq pada asalnya dapat memilih program universiti dalam fasa kedua melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU), namun pilihan tersebut ‘hilang’ pada peringkat seterusnya.
Zambry menegaskan bahawa kerajaan memegang dasar tiada individu yang mempunyai kelayakan akademik akan didiskriminasi daripada mendaftar di universiti awam.
Katanya, lazimnya universiti memerlukan pengesahan berkaitan jenis ketidakupayaan seseorang pelajar sebelum proses permohonan diteruskan, mengambil kira kemudahan yang disediakan oleh institusi dipohon.
“Isu yang berlaku ialah beliau (pelajar OKU berkenaan) memohon atas nama OKU dan ada universiti yang ingin mengetahui jenis OKU supaya penyesuaian boleh diberikan berdasarkan keadaan beliau,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


