Semak kesahihan tawaran badal haji elak ditipu -TH

 Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana tawaran perkhidmatan upah haji atau badal haji sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana tawaran perkhidmatan upah haji atau badal haji sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana tawaran perkhidmatan upah haji atau badal haji sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, setiap tahun menjelang musim haji, akan ada pihak mengambil kesempatan menawarkan pakej badal haji secara meluas sama ada di premis seperti surau dan masjid atau melalui iklan di media sosial.

Menurutnya, kebanyakan tawaran itu memaparkan harga yang terlalu rendah berbanding kos sebenar yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi kepada penduduk tempatan.

“Kerajaan Arab Saudi menetapkan setiap individu luar negara perlu mendapatkan visa haji, manakala penduduk tempatan wajib memiliki permit kebenaran daripada pihak berkuasa. Tidak semua permohonan akan diluluskan.

“Harga terendah bagi pakej haji tahun lalu untuk penduduk tempatan adalah sekitar SR10,000 (RM11,300) merangkumi permit kebenaran dan khemah di Masyair, tetapi tidak termasuk kos lain seperti pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan dengan kos sedemikian, mustahil badal haji boleh dilakukan di bawah harga tersebut. Malah, penduduk tempatan Arab Saudi hanya dibenarkan menunaikan haji sekali dalam tempoh lima tahun.

Mustakim berkata, terdapat juga kes penipuan apabila seorang pelaksana mengambil sehingga 200 upah badal haji, bertentangan dengan peraturan dan syariat Islam.

Selain itu, katanya, kerajaan Arab Saudi kini mengetatkan undang-undang di mana mana-mana jemaah yang ditangkap menggunakan visa atau permit tidak sah akan dikenakan denda, penjara dan disenarai hitam daripada memasuki negara itu selama beberapa tahun.

“Rakyat Malaysia perlu bijak menilai tawaran perkhidmatan serendah RM1,500 yang diiklankan. Jangan mudah percaya kepada penyedia badal haji komersial bagi mengelakkan ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!