Petugas Tabung Haji mula berlepas ke Arab Saudi

Sebahagian petugas Tabung Haji yang mula berlepas ke Arab Saudi pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
Sebahagian petugas Tabung Haji yang mula berlepas ke Arab Saudi pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 632 petugas haji Tanah Suci digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula Khamis bagi membuat persiapan awal operasi musim haji tahun 1446H/2025M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TH menempatkan petugas haji Tanah Suci secara menyeluruh merangkumi pelbagai sektor.

Menurutnya, ia termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.

“Bagi musim haji 1446H ini, terdapat dua kumpulan petugas utama iaitu 358 petugas rombongan kebajikan dan 274 petugas rombongan perubatan.

“Saya percaya gabungan dari pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nur Farhana merupakan Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian antara petugas media yang berlepas ke Arab Saudi pada Khamis.
Nur Farhana merupakan Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian antara petugas media yang berlepas ke Arab Saudi pada Khamis.

Dalam pada itu, seramai 14 petugas media menyertai penerbangan pertama ke Arab Saudi dan salah seorang daripadanya merupakan Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan.

Syed Hamadah berkata, dua penerbangan melibatkan 74 petugas mula berlepas pada Khamis dan diikuti dengan kumpulan selebihnya secara berperingkat bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.

“Kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus yang cukup komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,” ujarnya lagi

Artikel Berkaitan:

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 29 April ini manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun. Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada hari Khamis, 5 Jun.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Sebanyak lapan buah stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh negara bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!