Lebih 2.4 juta batang rokok seludup disorok dalam kontena

Wan Norizan (empat dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Wan Norizan (empat dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Taktik sindiket menyimpan bekalan rokok di dalam sebuah kontena yang dijadikan tempat simpanan sebelum diedarkan kepada pembekal tempatan terbongkar susulan serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, hasil pemeriksaan pada jam 3 pagi menemui sebanyak 2,402,000 batang rokok putih dan kretek import yang merupakan barangan larangan, dianggarkan bernilai RM2.07 juta.

“Hasil risikan yang dilakukan sejak 12 tengah malam, pasukan kami menyerbu kawasan parkir kontena di Jalan Telekom, Kampung Johan Setia, Klang, dan menemui sejumlah dagangan disyaki rokok putih dan kretek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung serbuan berkenaan di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Wan Norizan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan diseludup masuk melalui jalan laut dan memaklumkan tiada tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut, manakala siasatan masih dijalankan.

“Pengimportan dagangan ini memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras dengan Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan, selain menasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa setakat Jun tahun ini, JKDM WPKL telah mencatatkan sebanyak 160 kes berkaitan rokok dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM35 juta.

“Orang awam diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!