Dicekup ketika hantar rokok seludup hampir RM1 juta

CHERAS – Tindakan seorang lelaki menghantar rokok seludup berakhir dengan tangkapan apabila gerak-gerinya diekori pihak berkuasa sebelum dicekup sebaik sahaja tiba di sebuah rumah di Taman Minang di sini pada Selasa.
Serbuan kira-kira jam 1 petang itu dijalankan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 menerusi gabungan Unit Risikan Marin (URM) dan Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pelabuhan Klang menerusi Op Taring Landai.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan barangan tidak bercukai di kawasan tersebut.
Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan yang disyaki digunakan untuk menghantar rokok tidak bercukai sebelum mengekori kenderaan terbabit sehingga ke sebuah rumah di Taman Minang.
"Pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun menemui sebungkus beg plastik mengandungi rokok yang disyaki tidak bercukai.
"Pemeriksaan seterusnya di dalam rumah terbabit turut menemui pelbagai jenis rokok tidak bercukai yang disimpan di beberapa lokasi dalam rumah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Rusley berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu mengaku bertindak sebagai penghantar rokok.
"Keseluruhan rampasan rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM943,426.59.
"Kesemua barang rampasan termasuk kenderaan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

